Pengambilan makanan berkhasiat, berzat dan seimbang sering disarankan untuk memastikan anda sentiasa sihat dan bebas daripada pelbagai penyakit berbahaya.
Ini kerana pengambilan makanan seimbang dalam diet seharian dapat membantu mengurangkan risiko beberapa penyakit, termasuk kanser, serangan jantung dan angin ahmar, tekanan darah tinggi, lebihan kolesterol, osteoporosis dan spina bifida.
Sejauh manakah makanan dapat membantu anda menjauhkan diri daripada penyakit berbahaya?
Kanser (barah)
Makan buah-buahan dan sayur-sayuran dapat membantu mengurangkan risiko kanser kolon, perut, paru-paru dan esofagus. Bagaimanapun, bukti yang menunjukkan pengurangan risiko itu tidak sekuat sebagaimana kanser payu dara dan prostat.
Diet tinggi lemak sering dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser prostat, kolon, rektum dan endometrium. Bagaimanapun diet tinggi lemak sukar dikaitkan dengan kanser payu dara tetapi ada bukti menunjukkan bahawa lemak tepu memainkan peranan penting dalam meningkatkan risiko kanser.
Serangan jantung dan angin ahmar (strok)
Satu kajian mendapati mereka yang mengikuti garis panduan pemakanan disarankan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mengalami 28% dan 14% pengurangan risiko terhadap serangan jantung dan strok berbanding mereka yang tidak mengikuti garis panduan itu.
Lebihan kolesterol
Kurangkan pengambilan lemak, terutama lemak tepu akan merendahkan risiko mengalami lebihan kolesterol di dalam darah, sekaligus risiko terhadap penyakit jantung koronari.
Tekanan darah Tinggi
Mengambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran (8 hingga 10 hidangan) diikuti diet rendah lemak dan mengambil produk tenusu (3 hidangan sehari) boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan merendahkan tekanan darah, sekaligus mengurangkan risiko terhadap penyakit jantung koronari.
Osteoporosis
Mendapat kalsium secukupnya akan melindungi anda daripada osteoporosis. Kalsium dijumpai dalam produk tenusu, sayuran hijau dan banyak lagi produk yang diperkaya dengan kalsium.
Spina bifida
Mengambil makanan yang mengandungi asid folik seperti sayur-sayuran hijau atau asid folik yang diperkaya dengan bijirin sebelum dan ketika hamil dapat membantu melindungi bayi daripada mengalami spina bifida.
Sumber: Panduan Penjagaan Kesihatan (Berita Harian)
Oleh Raihanah Abdullah
Thursday, July 26, 2007
Makanan Seimbang Kurangkan Risiko Penyakit Berbahaya
Posted by Salmi Rafiza Mat Saad at 11:47 AM 0 comments
Labels: Kesihatan
Tip Memilih Makanan Yang Betul
Makanan yang kita makan bukan sahaja mengenyangkan malah secara tidak langsung memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan kita, kerana setiap bahan makanan tersebut mengandungi zat pemakanan yang berbeza dan pelbagai.
Penting untuk kita mengetahui makanan apa yang baik dan perlu, dan yang mana patut dihindarkan. Berikut adalah beberapa tip untuk memilih makanan yang betul:
1. Minum 10 gelas air sehari supaya kulit sihat dan lembap. Air juga bertindak sebagai bahan membantu tubuh mengepam keluar toksik dalam badan.
2. Jauhi snek dan makanan segera yang sememangnya sedap kerana kandungan sodium yang tinggi di dalamnya. Namun, jika diambil dalam jumlah yang banyak, unsur kimia dalam makanan berkenaan akan menjadi racun yang boleh mengganggu organ tubuh.
3. Lebihkan pengambilan protein yang bukan berasaskan haiwan misalnya kacang soya. Protein daripada haiwan tidak baik kerana ia lemak tepu dan tinggi kolesterol.
4. Awas dengan susu atau produk tenusu kerana bagi mereka yang berkulit sensitif, produk tenusu dipercayai berpotensi tinggi menghasilkan mukus yang memberi reaksi alergi. Semakin meningkat usia, tubuh kehilangan enzim penting yang boleh memecahkan gula dalam susu atau produk tenusu. Gantikan dengan yogurt rendah lemak kerana ia mengandungi bakteria baik yang berupaya menyerap nutrien yang baik.
5. Jangan kedekut untuk membeli sistem penapis air yang berkualiti. Air yang bersih boleh merangsang awet muda.
6. Anda penggemar kopi? Tahukah anda minuman seperti kopi atau apa saja yang berkafein sebenarnya bersifat toksik kepada badan? Ia menyebabkan pengoksidaan kulit menjadikannya cepat berkedut.
7. Jika anda mengimpikan berat badan ideal, jauhkan makanan berasaskan lemak tepu, berprotein tinggi dan mengandungi kolesterol dalam diet anda.
8. Cuba makanan berasaskan karbohidrat kompleks. Ia bukan saja mengekalkan aras gula dalam darah tapi turut memanjangkan hayat alteri anda.
Posted by Salmi Rafiza Mat Saad at 11:15 AM 0 comments
Labels: Kesihatan
Tuesday, July 24, 2007
10 Cara Berbakti Kepada Ibu Bapa
Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa, sebagaimana Islam meletakkan ibu dan bapa pada kedudukan yang mulia. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh setiap anak untuk kedua orang tuanya sama ada secara material atau hubungan kasih sayang, diantaranya:
- Memberi nafkah
- Menyediakan tempat tinggal
- Memberi kasih sayang
- Memberi perhatian
- Memenuhi permintaan
- Melakukan apa yang disukai
- Bercakap dengan lemah lembut
- Menghadiahkan kejayaan
- Meluangkan masa bersama
- Mendoakan kebaikan ibu bapa
Posted by Salmi Rafiza Mat Saad at 1:56 PM 0 comments
Labels: Keagamaan
Tiga Perkara Jana Pahala Berpanjangan Selepas Mati
Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W. daripada Abu Hurairah yang bermaksud:
"Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa dari anaknya yang salih"
(Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini menjelaskan bahawa seseorang walaupun sudah meninggal dunia masih berpeluang untuk membuat pahala berpanjangan di alam kubur, iaitu melalui amalannya sewaktu di dunia seperti sedekah jariah, ilmu yang pernah disampaikan dan dimanfaatkan oleh orang lain serta doa anaknya yang salih.
Ini bermakna, pahala akan tetap bertambah walaupun ketika itu seseorang berada di alam kubur dan tidak mampu beramal lagi. Ini ibarat air sungai yang mengalir dari gunung tetap bertali arus tanpa henti.
Sedekah Jariah
Amalan bersedekah ini amat dituntut agama dan banyak ayat al-Quran yang menganjurkan perbuatan mulia ini. Antaranya Allah berfirman yang bermaksud:
"Jika kamu menampakkan sedekahmu, maka itu adalah baik sekali dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang fakir, maka menyembunyikannya itu adalah lebih baik bagimu"
(Surah al-Baqarah:ayat 271)
"Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah. Apa saja harta yang baik kamu nafkahkan nescaya akan diberi pahala yang cukup sedang kamu tidak sedikit pun akan dianiaya (dirugikan)"
(Surah al-Baqarah:ayat 272)
Maka apabila seseorang itu bersedekah dengan ikhlas sewaktu hidupnya, pahala itu akan diperoleh walaupun walaupun selepas meninggal dunia.
Ilmu Yang Dimanfaatkan
Tugas mendidik atau mengajar ilmu kepada orang lain juga adalah amalan sangat mulia di sisi agama. Apabila seseorang mengajar ilmu kepada orang lain dan kemudian orang itu mengajar pula kepada orang lain, itulah yang amat bernilai dan dikira sebagai ilmu yang dimanfaatkan.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Sesiapa yang menunjukkan suatu kebaikan kepada orang lain, maka baginya pahala yang sama seperti yang diperoleh oleh orang yang membuat kebaikan itu"
(Riwayat Imam Muslim)
"Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk (kebaikan), baginya pahala seperti pahala yang diperoleh oleh orang yang mengikut kebaikan itu selepasnya dan tidak akan berkurangan pahalanya walaupun sedikit, dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan maka baginya dosa seperti dosa yang turut diperoleh oleh orang yang membuat dosa selepasnya dan tidak akan berkurangan dosa itu walau sedikit pun"
(Riwayat Imam Muslim"
Doa Anak Yang Salih
Menjadi kewajipan anak memelihara ayah dan ibu sewaktu hayat dan selepas kematian kedua-duanya, tanggungjawab si anak ialah mendoakan kesejahteraan mereka di alam barzakh serta memohon kesejahteraan agar ibu bapa mereka ditempatkan bersama golongan yang mendapat rahmat daripada Allah.
Dalam kitab al-Azkar, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa ulama bersepakat menyatakan bahawa orang yang hidup boleh berdoa kepada orang yang meninggal dunia dan doa itu sampai dan boleh mendapat manfaat daripadanya. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T bermaksud:
"Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar) berdoa; wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terdahulu daripada kami"
(Surah al-Ansar:ayat 10)
Ayat ini menjelaskan mengenai doa orang Muhajirin dan Ansar kepada saudara mereka yang terlebih dulu beriman daripada mereka. Hal ini menunjukkan bahawa amalan berdoa kepada orang yang meninggal dunia adalah dibenarkan. Apatah lagi jika doa itu datangnya daripada anak salih kepada arwah kedua-dua ibu dan bapa.
Sumber: Berita Harian
Posted by Salmi Rafiza Mat Saad at 1:04 PM 0 comments
Labels: Keagamaan
Sunday, July 22, 2007
Kata-kata Nabi Muhammad Jadi Peribahasa
Ibnu Abbas menegaskan tidaklah diriwayatkan daripada Nabi Muhammad S.A.W. mengenai perkataan yang diucapkannya melainkan ia menjadi peribahasa.
Antaranya sabda Nabi yang bermaksud:
"Orang mukmin itu tidak disengat dua kali dari satu lubang"
"Orang yang berkuasa ialah yang boleh mengalahkan nafsunya"
"Sekarang peperangan menjadi sengit"
"Khabar itu tidak seperti melihat sendiri"
"Orang yang hadir melihat apa yang tidak dilihat oleh orang yang tidak hadir"
"Pemberi minum manusia adalah mereka yang terakhir minum"
"Andai kata sebuah gunung berbuat zalim kepada sebuah gunung lainnya nescaya Allah Taala sudah menghancurkannya"
"Perang itu membolehkan tipu daya"
"Mulai dengan diri kamu, kemudian orang yang menjadi tanggungan kamu"
"Bencana itu tergantung pada ucapan"
"Orang muslim adalah cermin orang muslim"
"Manusia itu sama seperti gigi-gigi sikat"
"Kekayaan yang hakiki adalah kaya jiwa"
"Meninggalkan kejahatan adalah sedekah"
"Pemimpin orang adalah pelayan mereka"
"Sesungguhnya daripada syair itu ada hikmah dan sesungguhnya daripada kata-kata yang indah ada daya pesona"
"Niat orang mukmin itu lebih baik daripada amalnya"
"Kasihanilah makhluk yang ada di bumi, nescaya kamu dikasihani oleh Tuhan yang menguasai langit"
"Penasihat itu diserahkan amanat"
"Selesaikan keperluan kamu dengan merahsiakannya"
"Siapa yang tidak menyayangi, dia pun tidak disayang"
"Orang yang menarik kembali pemberiannya seperti orang yang memakan kembali muntahnya"
"Orang yang menunjukkan kebaikan adalah seperti yang melakukannya"
"Cintamu kepada sesuatu menjadikan buta dan tuli"
"Setiap perbuatan yang makruf adalah sedekah"
"Menunda pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah kezaliman"
"Perjalanan itu sebahagian daripada seksaan"
"Orang mukmin mengikut syarat mereka"
"Manusia itu menurut asal-usulnya seperti asal-usul (sumber) emas dan perak. Yang baik daripada mereka pada zaman jahiliah adalah yang baik di antara mereka dalam Islam apabila mereka memahami agama"
"Kezaliman itu menjadi kegelapan pada Hari Kiamat"
"Hati manusia diciptakan untuk mencintai siapa yang berbuat baik kepadanya dan membenci siapa yang berbuat buruk kepadanya"
"Tidaklah mensyukuri Allah sesiapa yang tidak mensyukuri Allah dan sesiapa yang tidak mensyukuri manusia"
"Keadilan raja mengekalkan kerajaannya"
Sumber: Berita Harian
Posted by Salmi Rafiza Mat Saad at 3:31 PM 0 comments
Labels: Keagamaan
Saturday, July 21, 2007
Pelajari Perkembangan Emosi Anak
Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Sejak dilahirkan sehingga dewasa, kita dapat melihat perkembangan mereka sama ada dari segi fizikal dan mental, sentiasa berubah di setiap peringkat umur yang dilalui.
Salah satu perkembangan anak-anak yang perlu diambil perhatian oleh setiap ibu dan bapa ialah perkembangan dari segi emosi. Emosi dikaitkan dengan perasaan iaitu suatu aspek penting dalam kehidupan seseorang sama ada positif atau negatif. Umumnya bayi yang dilahirkan memiliki emosi yang berbeza-beza. Penting bagi setiap ibu dan bapa mempelajari dan memahami emosi anak-anak supaya proses mendidik mereka akan menjadi lebih mudah dan berada di landasan yang betul.
Jenis-jenis emosi kanak-kanak:
Gembira
Membantu kanak-kanak atau remaja berfikir bagaimana melahirkan rasa seronok dan menggalakkan mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka sukai
Marah
Membantu mencari jalan bagaimana menghadapi halangan untuk mendapat sesuatu yang dicitakan dan mengenal erti kesabaran, belajar melahirkan perasaan geram dalam bentuk yang bersesuaian dan mencari jalan penyelesaian
Takut
Rasa terancam, suatu motivasi ingin memastikan keselamatan diri dari aspek fizikal dan psikologi. Merangsang kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan takutnya mencari jaminan mendapat ketenangan dan ketenteraman.
Sedih
Kehilangan, tidak mendapat apa yang dikehendaki menjadikan kanak-kanak berusaha lebih mendapat apa yang dicita, mencurah perasaan dan berfikir bagaimana mengatasi rasa sedih.
Geli
Selalunya dikaitkan dengan makanan, bau dan pandangan, suatu yang semulajadi menjadikan seseorang kanak-kanak berhati-hati agar tidak 'terkena' apa yang beliau geli. Perasaan ini perlu dihormati dan bantu mereka mencari sebab mengapa mereka berperasaan begitu.
Cemas
Asalkan tidak keterlaluan, sebenarnya ia membantu kanak-kanak berusaha mengambil langkah mengelak diri dari menghadapi masalah, belajar menahan perasaan bimbang dan bertindak proaktif untuk menunjukkan sesuatu yang terbaik.
Malu
Menjadikan kanak-kanak menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri.
Rasa bersalah
Wujud bila kanak-kanak melakukan sesuatu yang dianggap 'keluar' dari 'standard' tingkah laku yang baik. Si kecil akan berusaha untuk tidak dianggap bersalah dengan berakhlak sebaik mungkin dan sekiranya kesalahan tetap atau sudah dilakukan, perasaan ini merangsang kanak-kanak meluahkan perasaan dan menyedari agar berusaha untuk tidak mengulangi pada waktu yang lain.
Rasa bangga
Tercetus bila seseorang kanak-kanak terasa dihormati/dihargai oleh orang lain atau bila ia mencapai apa yang diharapkan seperti merangsang mereka meluahkan apa yang membuatkan mereka merasa bangga dan memberi peluang berkongsi rasa bangga, puas dan gembira.
Perkembangan emosi mengikut umur:
Awal emosi (0 - 15 bulan)
- Emosi asas (positif dan negatif) berkembang secara 'gradual' terutama dalam tempoh enam bulan pertama dan selalunya ditonjolkan menerusi memek muka dan 'eye contact':
- Gembira/seronok - senyum, pipi terangkat, mata berbentuk bulan sabit. Contoh; bila diagah.
- Terkejut - angkat kening, mulut terbuka luas, bulatkan mata. Contoh; berhenti menangis bila dengar bunyi muzik atau suara jeritan
- Minat - merenung, mengerutkan kening dan bibir. Contoh; merenung wajah ibu, melihat persekitaran.
- Marah - mengerut dan memasamkan muka, kening turun naik, mata tajam. Contoh; 'mengamuk' bila mengantuk atau lapar, bila objek dirampas daripada tangan.
- Sedih - muka masam dan layu, dagu tertolak ke hadapan. Contoh; ditinggalkan ibu.
- Geli - berkerut kening, jelir lidah. Contoh; menolak jenis makanan tertentu, menangis bila buang air.
- Bayi antara 3-8 minggu sudah boleh tersenyum (perkembangan awal emosi positif)
- Bayi 12-20 minggu akan senyum pada wajah dan suara yang dikenali, senyum bila merasakan persekitaran dikuasai, mula ketawa.
-Enam bulan pertama bayi masih belum mempunyai rasa sayang/kasih pada sesuatu atau seseorang. Perasaan kasih mula terbentuk ketika usia antara 7-9 bulan; melalui hubungan ikatan kasih sayang, sentuhan, belaian dengan orang yang paling hampir seperti ibu dan bapa. Menunjukkan rasa tidak senang/takut dengan kehadiran 'orang asing'.
Anak tatih (16-36 bulan)
- Emosi turun naik seperti 'roller coaster'
- Usia 2 tahun; sudah tahu menunjukkan emosi dan emosi yang ditunjukkan memang disengajakan (tidak ragu-ragu untuk melakukannya)
- Mahu bebas tetapi tidak mahu ditinggalkan bersendirian; rasa diri 'sudah besar' tetapi mahu dibelai.
- 'Reject syndrome'; dalaman kanak-kanak bukan 'menentang' ibu bapa.
- 'Temper tantrum'; tidak mampu meluahkan perasaan sepenuhnya dalam bentuk perkataan/verbal.
- Berbagai bentuk perasaan takut; bunyi bising, suara binatang, bilik gelap, 'hilang' ibu bapa, perubahan persekitaran dan sebagainya (takut pada apa saja yang dianggap bahaya).
Anak prasekolah (3-6 tahun)
- Usia 3-4 tahun sudah boleh memahami perkaitan antara emosi dan persekitaran (sebab yang mempengaruhi emosi).
- Mula belajar mengawal emosi yang turun naik.
- Pemahaman terhadap emosi orang lain terbatas hanya kepada emosi yang ditunjukkan melalui memek muka.
- Perasaan takut yang terbentuk berkait dengan imaginasi dan khayalan beserta perkembangan daya kreativiti dan pemikiran abstrak. Contoh; takut hantu atau takut jatuh.
- Lebih berdikari, kurang 'physical contact' dengan ibu bapa.
- Lebih banyak bercakap untuk mencurah perasaan/menangani perasaan.
Usia pertengahan (7-14 tahun)
- Sudah pandai menyembunyikan emosi yang negatif dengan berpura-pura menunjukkan keseronokan.
- Sudah mula memahami dan menghurai emosi yang kompleks; perasaan malu, rasa bersalah, rasa bangga dan cemburu.
- Perasaan takut mula berkembang kepada yang lebih realistik; takut sekolah, takut berkomunikasi, takut kejadian jenayah.
- Mahu disayangi tetapi bukan ditonjolkan depan ramai.
- Amat memerlukan bantuan mengenalpasti emosi marah agar tidak 'out of control'; belajar mengawal perasaan.
- Perlu perhatian dan dorongan mengatasi rasa takut.
Posted by Salmi Rafiza Mat Saad at 4:08 PM 0 comments
Labels: Kekeluargaan
Friday, July 20, 2007
10 Tip Pengurusan Kewangan Terbaik
Terdapat 10 tip pengurusan kewangan terbaik yang boleh kita aplikasikan dalam kehidupan seharian kita:
Menerima gaji sepatutnya dan berbelanja kurang daripada pendapatan
Peraturan asas ini nampak mudah tetapi hakikatnya sukar untuk dilaksanakan. Anda perlu tahu sama ada anda menerima gaji yang sepatutnya berbanding kepakaran, keupayaan, produktiviti dan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada anda. Menerima gaji rendah daripada yang sepatutnya, walaupun RM1,000 setahun akan memberi kesan yang besar dalam jangka panjang. Tidak kira berapa gaji anda, jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan. Adalah lebih mudah untuk menyekat perbelanjaan daripada memperoleh pendapatan lebih. Berjimat walaupun sedikit boleh memberi kesan yang besar pada tabungan.
Rancang dan patuhi jadual perbelanjaan (bajet)
Rancang perbelanjaan anda. Anda tidak akan mampu berbelanja dan menyimpan pada masa yang sama tanpa perancangan kewangan yang betul.
Lunaskan hutang kad kredit
Berterus-terusan mempunyai hutang kad kredit adalah satu kesilapan paling besar. Memang terlalu mudah untuk menggunakan kad kredit tetapi amat payah untuk melunaskan hutang dan akhirnya anda akan terus dibeban hutang yang BESAR!
Mencarum dalam pelan persaraan
Jika syarikat anda menyediakan pelan persaraan, jangan lepaskan peluang untuk mencarum. Jika tiada, pertimbangkan pelan atau skim lain yang disediakan untuk pekerja.
Menabung
Pastikan anda menyimpan sekurang-kurangnya 5% - 10% daripada gaji sebelum menyelesaikan segala bil. Cara paling baik, buat potongan secara automatik untuk akaun yang berbeza.
Melabur!
Pastikan anda membuat pelaburan - jika masih ada wang lebih selepas mencarum untuk skim persaraan atau skim simpanan pekerja dan menabung dalam akaun simpanan.
Tingkatkan caruman skim kemudahan untuk pekerja
Tambah nilai caruman anda pada skim kemudahan yang disediakan untuk pekerja. Ia akan membantu anda mengurangkan pembayaran cukai dan membataskan perbelanjaan yang tidak perlu.
Semak liputan insurans
Ramai orang membeli insurans dengan bayaran premium yang tinggi tanpa terlebih dahulu menyelidik sama ada ia perlu atau tidak. Pastikan anda mempunyai insurans secukupnya tetapi pada masa yang sama tidak membebankan kedudukan kewangan.
Kemas kini wasiat
Lindungi orang yang disayangi. Pastikan anda membuat wasiat tidak kira berapa sedikit pun harta anda. Kira-kira 70% warga Amerika tidak mempunyai wasiat.
Simpan rekod kewangan dengan baik
Jika anda tidak menyimpan rekod perbelanjaan, anda mungkin terlepas pandang untuk mendapatkan pengecualian cukai untuk perbelanjaan tertentu
sumber: Berita Harian 2007
http://financialplan.about.com
Posted by Salmi Rafiza Mat Saad at 11:09 AM 0 comments
Labels: Kewangan
Mengapa Kita Gagal Merancang Kewangan?
Hari ini saya ingin berkongsi satu info berkaitan kewangan. Mengapa ramai di antara kita yang tidak mengecapi kejayaan di dalam mengurus kewangan? Kita selalu mengeluh bila berbicara soal duit - sentiasa tidak cukup dan bagaimana hendak menjadi kaya.
Posted by Salmi Rafiza Mat Saad at 9:11 AM 0 comments
Labels: Kewangan
Friday, July 13, 2007
Tujuan Tanda Kasih Diwujudkan
Salam sejahtera,
Posted by Salmi Rafiza Mat Saad at 5:00 PM 0 comments
Tanda Kasih Pembuka Bicara
Pertamanya syukur ke kepada Allah S.W.T. kerana dengan izinnya dapat juga saya menghasilkan blog Tanda Kasih ini.
Sebagaimana namanya, blog ini adalah sebagai tanda kasih saya buat mereka-mereka yang begitu dekat dalam hidup saya:
Akhir sekali buat tetamu-tetamu Tanda Kasih, terima kasih atas kesudian anda meluangkan sedikit masa di laman ini. Harapan saya semoga anda memperoleh 'sesuatu' yang berguna di sini.
Selamat melayari blog Tanda Kasih.
Wassalam.
Posted by Salmi Rafiza Mat Saad at 11:25 AM 0 comments