Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W. daripada Abu Hurairah yang bermaksud:
"Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa dari anaknya yang salih"
(Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini menjelaskan bahawa seseorang walaupun sudah meninggal dunia masih berpeluang untuk membuat pahala berpanjangan di alam kubur, iaitu melalui amalannya sewaktu di dunia seperti sedekah jariah, ilmu yang pernah disampaikan dan dimanfaatkan oleh orang lain serta doa anaknya yang salih.
Ini bermakna, pahala akan tetap bertambah walaupun ketika itu seseorang berada di alam kubur dan tidak mampu beramal lagi. Ini ibarat air sungai yang mengalir dari gunung tetap bertali arus tanpa henti.
Sedekah Jariah
Amalan bersedekah ini amat dituntut agama dan banyak ayat al-Quran yang menganjurkan perbuatan mulia ini. Antaranya Allah berfirman yang bermaksud:
"Jika kamu menampakkan sedekahmu, maka itu adalah baik sekali dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang fakir, maka menyembunyikannya itu adalah lebih baik bagimu"
(Surah al-Baqarah:ayat 271)
"Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah. Apa saja harta yang baik kamu nafkahkan nescaya akan diberi pahala yang cukup sedang kamu tidak sedikit pun akan dianiaya (dirugikan)"
(Surah al-Baqarah:ayat 272)
Maka apabila seseorang itu bersedekah dengan ikhlas sewaktu hidupnya, pahala itu akan diperoleh walaupun walaupun selepas meninggal dunia.
Ilmu Yang Dimanfaatkan
Tugas mendidik atau mengajar ilmu kepada orang lain juga adalah amalan sangat mulia di sisi agama. Apabila seseorang mengajar ilmu kepada orang lain dan kemudian orang itu mengajar pula kepada orang lain, itulah yang amat bernilai dan dikira sebagai ilmu yang dimanfaatkan.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Sesiapa yang menunjukkan suatu kebaikan kepada orang lain, maka baginya pahala yang sama seperti yang diperoleh oleh orang yang membuat kebaikan itu"
(Riwayat Imam Muslim)
"Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk (kebaikan), baginya pahala seperti pahala yang diperoleh oleh orang yang mengikut kebaikan itu selepasnya dan tidak akan berkurangan pahalanya walaupun sedikit, dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan maka baginya dosa seperti dosa yang turut diperoleh oleh orang yang membuat dosa selepasnya dan tidak akan berkurangan dosa itu walau sedikit pun"
(Riwayat Imam Muslim"
Doa Anak Yang Salih
Menjadi kewajipan anak memelihara ayah dan ibu sewaktu hayat dan selepas kematian kedua-duanya, tanggungjawab si anak ialah mendoakan kesejahteraan mereka di alam barzakh serta memohon kesejahteraan agar ibu bapa mereka ditempatkan bersama golongan yang mendapat rahmat daripada Allah.
Dalam kitab al-Azkar, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa ulama bersepakat menyatakan bahawa orang yang hidup boleh berdoa kepada orang yang meninggal dunia dan doa itu sampai dan boleh mendapat manfaat daripadanya. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T bermaksud:
"Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar) berdoa; wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terdahulu daripada kami"
(Surah al-Ansar:ayat 10)
Ayat ini menjelaskan mengenai doa orang Muhajirin dan Ansar kepada saudara mereka yang terlebih dulu beriman daripada mereka. Hal ini menunjukkan bahawa amalan berdoa kepada orang yang meninggal dunia adalah dibenarkan. Apatah lagi jika doa itu datangnya daripada anak salih kepada arwah kedua-dua ibu dan bapa.
Sumber: Berita Harian
Tuesday, July 24, 2007
Tiga Perkara Jana Pahala Berpanjangan Selepas Mati
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment