Salam sejahtera,
Melihat kepada nama Tanda Kasih tentu ada yang tertanya-tanya apa kandungan sebenar blog ini. Jika dilihat pada blog-blog yang sedia ada di laman maya ini tentu kita mudah 'menangkap' apa sebenarnya yang ingin disampaikan atau dikongsikan oleh yang empunya nya. Saya sendiri masih terawang-awang pada mulanya mencari satu tapak untuk berkongsi cerita. Mungkin pada asalnya blog ini diwujudkan kerana begitu ramai orang bercerita tentang blog dan merasa agak bangga memilikinya..mungkin saya juga ingin berkongsi perasaan itu. Nampaknya agak terlewat untuk saya menyenaraikan diri di kalangan orang-orang yang memiliki lebih dari satu blog dan bercerita tentang pelbagai perkara. Saya pula setakat ini hanya baru berjaya mencipta satu...yang diharap akan menjadi pemangkin kepada blog-blog seterusnya.
Setelah berfikir-fikir dan menimbang-nimbang, saya ingin menjadikan blog ini medan berkongsi ilmu. Saya sebenarnya memiliki hobi mengumpul pelbagai info dari surat khabar, majalah & sebagainya...yang biasa saya bahagikan kepada beberapa kategori; kesihatan, kecantikan, kekeluargaan, agama & beberapa perkara yang menarik perhatian saya. Mungkin dengan berkongsi koleksi info yang saya kumpulkan selama ini akan menjadi satu 'pangkalan data' maya yang tidak hanya di miliki oleh saya tetapi dapat dikongsi oleh orang lain.
Secara peribadi saya tidak mempunyai apa-apa kepakaran atau kelebihan untuk membicarakan tentang sesuatu perkara, semoga dengan berkongsi ilmu yang saya ada dari pengalaman atau penulisan orang lain dapat menjadi satu medan untuk saya membuat sedikit kebaikan.
"Manusia yang paling baik, adalah yang paling banyak manfaat atau kebaikannya pada orang lain"
Insya Allah.
No comments:
Post a Comment