Saturday, September 15, 2007

Memilih Makanan Sihat Pada Bulan Ramadan

Bulan Ramadan merupakan bulan bagi umat Islam menunaikan ibadah puasa. Ramai di antara kita yang menganggap bulan inilah masa yang paling baik untuk mengurangkan berat badan. Dalam erti kata lain, bulan untuk melihat lebih ramai wanita kurus!

Sebenarnya jika mahu kurus tidak semestinya berpuasa. Memang puasa salah satu cara yang tidak secara langsung boleh membantu kita mengurangkan timbunan lemak dalam tubuh badan. Tetapi ingat, ia tetap bergantung kepada cara mana kita menjaga pemakanan kita sepanjang bulan ini.

Sepanjang siang hari kita berpuasa maka apabila tiba waktu memilih makanan untuk berbuka, kita kerapkali akan membeli atau memasak apa sahaja makanan yang terlintas di kepala tanpa memikirkan nilai pemakanan dan kesannya kepada kesihatan. Jika ini berlaku ke atas anda, sudah pasti bukan tubuh yang langsing anda miliki sebaliknya, tidak mustahil kalau berat badan anda juga kian bertambah terutamanya bagi anda yang kerap berbuka puasa di hotel.

Adalah penting untuk kita memilih makanan yang sesuai pada bulan puasa supaya di samping dapat menikmati rasa yang sedap, berkhasiat dan memperolehi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh, kita juga dapat berjimat.

Makan Secara Berperingkat
Pada bulan puasa ini sebaik-baiknya kita membahagikan waktu makan kepada beberapa waktu hidangan supaya tidak memberi beban yang teruk kepada perut di samping tubuh kita mendapat cukup kalori untuk keperluan seharian. Jika pada hari-hari biasa kita mengambil sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam, begitu juga di bulan puasa. Cuba amalkan makan secara berperingkat seperti pada waktu berbuka, mulakan dengan minuman, kuih-muih atau buah-buahan.
Ini sebagai pengenalan atau pendahuluan kepada perut kita yang kosong. Kita memberi rehat seketika dengan menunaikan solat Maghrib. Selepas ini barulah perut kita akan lebih bersedia menerima makanan dalam kuantiti yang lebih banyak.

Makanan Seimbang
Di samping kuantitinya, kualiti pemakanan juga perlu dititikberatkan. Ini untuk memastikan tubuh kita kembali menerima tenaga yang telah digunakan sepanjang hari dan semua vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh terkandung di dalamnya. Amalkan pemakanan seimbang di mana kita perlu memastikan semua sumber karbohidrat (kanji), protein, lemak, vitamin, mineral dan air diambil dalam jumlah yang sesuai dan mencukupi.

Memodifikasikan Diet
Pemilihan makanan daripada produk-produk tempatan sebenarnya mempunyai nilai pemakanan yang baik asalkan cara kita menyediakannya adalah mengikut resipi atau panduan makanan sihat. Sekarang inilah masanya kita cuba memodifikasikan diet kita supaya kita dapat makanan yang berkhasiat, murah dan dapat mengurangkan belanja.

TIP

1. Kurangkan pengambilan lemak

Cuba kurangkan pengambilan lemak terutama lemak tepu seperti sumber-sumber lemak dari binatang seperti mentega dan keju kerana lemak jenis ini mengandungi paras kolesterol yang tinggi. Semasa menggoreng dan menumis juga kita perlu meminimakan kuantiti minyak supaya makanan lebih sihat di samping berjimat cermat.


2. Tingkatkan pengambilan buah dan sayur-sayuran segar

Kebanyakan buah-buahan tempatan seperti belimbing besi, betik, ciku dan pisang mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding dengan buah-buahan import seperti epal, pir dan lai. Sebagai contoh, pisang rastali mempunyai kandungan vitamin C lebih 2 kali ganda berbanding epal hijau. Betik eksotika pula mempunyai kandungan vitamin A hampir 10 kali ganda berbanding limau mandarin. Selain sumbangan vitamin dan mineral, buah-buahan dan sayur-sayuran juga adalah penyumbang serat (fiber) yang sangat baik untuk sistem pencernaan.

3. Lebihkan pengambilan air

Waktu berbuka atau bersahur anda disarankan minum jus buah-buahan (tanpa gula) dan elakkan dari minuman yang manis seperti minuman kordial atau minuman berperisa. Minuman yang berkafein seperti kopi tulen juga tidak digalakkan.

4. Kurangkan pengambilan makanan yang masin terutamanya ketika bersahur

Di samping kita dapat mengelakkan bahaya penyakit seperti serangan darah tinggi, ia juga dapat mengelakkan kita daripada rasa dahaga yang keterlaluan pada siang harinya.

5. Kurangkan pengambilan makanan/minuman yang manis

Mengurangkan penggunaan gula adalah baik untuk kesihatan kerana ia dapat mengelakkan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis dan masalah kegemukan.


Sumber: Nur (November 2002)

Thursday, September 13, 2007

Diet Yang Sesuai Ketika Ramadan

Apakah pengambilan makanan yang sesuai dan berapakah ia boleh diambil ketika bulan Ramadan?
Foods Gifs Images



Di bawah ini adalah cadangan dan kumpulan makanan yang perlu diikuti bagi memastikan anda mendapat khasiat yang secukupnya ketika berpuasa.

  1. Roti / bijirin / nasi, biskut ringan : 6 hingga 11 hidangan/sehari
  2. Daging / kekacang / kacang : 2 hingga 3 hidangan/sehari
  3. Susu dan produk dari susu : 2 hingga 3 hidangan/sehari
  4. Sayur-sayuran : 3 hingga 5 hidangan/sehari
  5. Buah-buahan : 2 hingga 4 hidangan/sehari
  6. Gula tambahan : kurangkan
  7. Lemak tambahan dan minyak poli tak tepu : 4 hingga 7 sudu

Jika anda mahukan tubuh badan anda tidak kehilangan zat yang sepatutnya ketika berpuasa, anda juga bolehlah mengikut saranan di bawah:

Hidangan Ketika Berbuka Puasa
Kurma - 2 atau 3 biji sehari
Jus - 1 hidangan (4 aun)
Sup sayur dengan biskut

Ketika berbuka puasa tubuh badan memerlukan sumber tenaga di dalam bentuk glukosa terutamanya untuk otak dan sel-sel darah. Kurma dan jus adalah sumber yang baik bagi memberi gula dalam badan. Kurma dan jus yang dicadangkan adalah cukup untuk membolehkan tahap glukosa dalam darah yang rendah menjadi normal semula. Jus dan sup pula dapat mengekalkan keseimbangan air dan mineral dalam tubuh.

Hidangan Ketika Makan Malam
Ambillah makanan dari kumpulan makanan berikut:

Kumpulan daging/kekacang
Daging lembu, ayam, ikan - 1 hingga 2 hidangan (saiz hidangan=1 hirisan=1 aun)
Kacang hijau dan sebarang jenis kekacang - 1 hidangan (setengah cawan)
Daging dan kekacang adalah sumber untuk protein, mineral dan sesetengah vitamin. Kekacang juga adalah sumber yang penuh dengan serat.

Kumpulan roti/bijirin
Roti gandum - 2 hidangan (saiz hidangan=1 aun)
Nasi yang telah dimasak - 1 cawan
Kumpulan ini kaya dengan sumber karbohidrat kompleks, di mana ia adalah yang baik untuk mendapat tenaga dan memberi protein, mineral dan serat. Elakkan terlalu banyak memakan kuih-muih yang manis dan berkalori.

Kumpulan susu
Susu atau yogurt - 1 cawan
(Mereka yang tidak boleh meminum susu boleh mengambil produk yang telah diperam seperti yogurt)
Kumpulan ini adalah penting untuk membaiki tisu dan beberapa fungsi fisiologikal.

Kumpulan sayuran
Salad campur seperti kubis, lobak, daun parsli, timun, ulam-ulam, brokoli, atau sayuran lain - 1 hidangan=1 cawan
Tambah 2 sudu minyak zaitun atau minyak poli tak tepu dan 2 sudu cuka.
Lemak poli tak tepu memberikan tubuh tambahan asid lemak dan asid keto.
sayuran yang telah dimasak seperti bendi, terung, kubis, bayam - 1 hidangan=4 aun.
sayur-sayuran adalah sumber penting untuk mendapat serat, vitamin A, keroten, lycopenes dan beberapa phytochemical, di mana kesemua ini adalah anti oksidan. Memakan sayur-sayuran dapat mencegah kanser, penyakit kardiovaskular dan beberapa masalah kesihatan.

Kumpulan buah-buahan
Buah-buahan sitrus dan buah-buahan lain - 1 hidangan
Buah elok dimakan untuk melancarkan pencernaan dan menghalang gastrointestinal. Buah sitrus memberikan vitamin C dan juga sumber utama serat.
Buah-buahan dan kacang campur boleh dimakan sebagai snek selepas makan malam atau sebelum tidur.

Hidangan Ketika Sahur
Makanan mestilah jenis yang ringan.
Makan nasi satu cawan, roti gandum atau bijirin oat - 1 hingga 2 hidangan, disertai dengan secawan susu.
Tambahkan 2 hingga 3 sudu minyak zaitun atau sebarang lemak mono tak tepu atau lemak poli tak tepu di dalam salad atau bijirin.
Makan 1 hingga 2 hidangan buah-buahan sebagai makanan terakhir.


Sumber: Mingguan Wanita (Edisi Aidilfitri 2002)

Saturday, September 8, 2007

18 Info Kembali Langsing

1. Kawal jumlah kalori
Sebaik-baiknya, cuba kawal atau hadkan jumlah kalori yang diambil setiap hari agar usaha menurunkan berat badan menampakkan hasilnya. Elakkan makanan manis dan berlemak.


2. Ambil banyak kalori rendah
Langkah awal yang boleh anda lakukan ialah dengan mengambil lebih banyak produk berkalori rendah. Biasanya jenis makanan ini dihasilkan daripada bahan-bahan pengganti yang berkalori rendah sehingga jumlah kalorinya menjadi terbatas.


3. Jangan berlebihan
Amalan memakan produk berlabel rendah kalori tidak bererti anda bebas menikmatinya sesuka hati. Ini kerana jika sudah terlebih mengambilnya, jumlah keseluruhan kalori yang anda ambil adalah sama seperti anda memakan kalori dalam kuantiti yang banyak.


4. Madu = gula
Gula ataupun madu? Kedua-duanya sama sahaja. Tahap kemanisan dan kalori yang terkandung dalam kedua-dua bahan ini tidak banyak berbeza. Jadi, elakkan diri daripada menggunakan madu terlalu banyak hanya kerana anda ingin mendapatkan rasa yang manis seperti gula.

5. Bijak Pilih Buah
Kebanyakan buah yang mengandungi karbohidrat yang tinggi mempunyai jumlah kalori yang tinggi juga. Jadi, sebagai pilihan yang selamat, adalah lebih baik jika anda memakan buah-buahan tempatan seperti betik, limau ataupun tembikai yang telah terbukti mempunyai kandungan kalori yang rendah.


6. Kurangkan makan
Mulai daripada saat ini, cubalah untuk mengurangkan jumlah makanan yang hendak diambil. Jadi, aturlah menu seharian dan jangan lupa disertai dengan aktiviti senaman. Gabungan kedua-duanya pasti membuahkan hasil dalam tempoh yang singkat.


7. Beri lebih tumpuan
Anda juga perlu lebih memberikan lebih fokus terhadap usaha anda untuk mencipta sesuatu yang baru (berusaha untuk langsing) dalam rutin harian yang bakal anda tempuh selepas ini.


8. Nasi = mi = karbohidrat tinggi
Biasanya jika menyentuh tentang diet, kebanyakan orang menyatakan bahawa mereka cuba mengelakkan diri daripada menjamah nasi tetapi menggantikan menu ini dengan mi, kentang, pasta ataupun makanan-makanan lain yang sama jumlah kalorinya dengan nasi. Perlu diketahui, bahawa kesan yang bakal anda rasai daripada pengambilan makanan berkarbohidrat sebegini adalah sama seperti anda mengambil nasi.

9. Kuasa air putih
Air putih punya kelebihannya yang tersendiri. Justeru, anda perlu membiasakan diri untuk meminum air putih sebelum makan atau mengunyah sesuatu. Dengan cara sebegini, anda akan lekas kenyang dan dapat mengurangkan jumlah makanan yang hendak dimakan. Sebaik-baiknya minum air putih 20 minit sebelum waktu makan.


10. Simpan makanan segar
Daripada menyimpan stok bahan makanan yang perlu dimasak terlebih dahulu (makanan dalam tin), adalah lebih bagus jika anda menyimpan makanan yang segar. Makanan segar lebih berkhasiat dan baik untuk kesihatan.


11. Motivasikan diri
Sebagai motivasi diri, apa kata anda cuba cadangan ini. Gantung baju idaman anda yang saiznya lebih kecil daripada saiz baju yang anda pakai sekarang. Lihatlah baju tersebut setiap hari dan tanam azam dalam diri untuk membolehkan anda memakainya suatu hari nanti apabila telah kembali langsing.


12. Tidur mencukupi
Para penyelidik dari University of Chicago mendapati bahawa tidur yang mencukupi dapat mempercepatkan pembakaran metabolisme pada tubuh setiap wanita sehingga 40 peratus.


13. Sarapan jangan diabaikan
Wanita yang berdiet sering mengabaikan sarapan. Jangan begitu! Dengan mengambil sarapan yang berkhasiat setiap hari, ia secara tidak langsung dapat membantu anda mengurangkan jumlah makanan yang perlu diambil di waktu makan tengah hari. Jadi, anda dapat mengurangkan jumlah makanan yang bakal diambil.


14. Buang tabiat buruk
Untuk memastikan anda berjaya melangsingkan tubuh, anda perlu menyingkirkan tabiat buruk yang satu ini. Kebanyakan orang suka makan di tempat tidur, makan sambil menonton televisyen ataupun membaca. Jadi, elakkan daripada berterusan melakukan tabiat sebegini.


15. Minum teh hijau
Hasil kajian oleh University of Switzerland berjaya membuktikan bahawa kekerapan meminum teh hijau mampu membantu anda membakar kalori dalam tubuh dengan lebih cepat dan efektif.


16. Naik tangga, turun tangga
Sekiranya anda malas ataupun tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melakukan senaman, cara mudah yang boleh anda amalkan ialah dengan melakukan aktiviti naik tangga, turun tangga. Dengan beberapa langkah menaiki dan menuruni anak tangga, anda akan peroleh kesannya dalam masa yang singkat kerana ia sama seperti anda berjoging. Namun, awas! Jangan sesekali melakukan aktiviti ini dengan memakai kasut yang bertumit tinggi bagi mengelakkan kecederaan yang tidak diingini.


17. Amalkan regangan
Kerajinan anda melakukan senaman regangan juga boleh membantu anda mencapai impian. Melakukan regangan sebelum tidur akan membantu tubuh melentur. Dengan itu, anda dapat melakukan apa sahaja jenis senaman yang bersesuaian. Tambah menarik jika anda sememangnya mempunyai asas yoga. Ia tentu lebih berkesan!


18. Berlari secara tenang
Kaedah berlari yang baik adalah larian yang dilakukan tanpa mementingkan tahap kelajuan larian. Ia seharusnya dilakukan dalam keadaan yang tenang, bersahaja dan jika diizinkan anda boleh berlari sambil berbual-bual dengan teman yang turut sama berlari dengan anda pada ketika itu.




Sumber: Pa&Ma (November 2005)

Monday, September 3, 2007

Jauhi Diri Daripada Hutang

Dalam dunia sekarang, sama ada orang tu kaya ataupun tidak, hutang seolah-olah mengekori ke mana sahaja kita pergi.

Hakikatnya, wang yang banyak bukanlah kayu pengukur yang berupaya menunjukkan bahawa seseorang itu tidak berhutang. Malah, hutang orang-orang "berwang" ini lebih hebat daripada yang bertaraf sederhana.

Dipendekkan cerita, hutang tidak memilih. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsanya. Supaya tidak terus diburu si hutang, anda kenalah bijak. Bijak dalam menguruskan sistem kewangan anda.


Jangan Abaikan Hutang
Setiap kali berhutang, anda mestilah ingat. Bayar sebelum hutang tersebut bertambah. Hutang ni sebenarnya macam barah. Mula-mula memanglah sikit, tapi kalau dibiarkan sahaja tanpa rawatan, boleh membunuh.


Jangan Beli Barang Secara Sewa Beli
Bagi yang berkemampuan, jangan sesekali membeli barang menggunakan kaedah sewa beli walaupun sekadar untuk suka-suka. Akan tetapi, bagi yang kurang berkemampuan, simpan dahulu duit sebelum membeli.
Selain dapat membeli barangan yang diinginkan pada harga yang lebih murah, tanpa disedari, wang yang anda simpan di dalam bank akan bertambah kerana anda mendapat faedah di atas setiap sen yang disimpan.


Jangan Terlalu Mengikut Hati
Ukurlah baju di badan sendiri. Kalau gaji RM1,000 belanjalah banyak itu. Jangan pula, berbelanja mengalahkan eksekutif. Bukan nak cemburu, tapi kalau beringat bukankah bagus? Kelak anda yang untung juga.


Jangan Membeli Rumah Yang Mahal
Jangan sesekali membeli rumah terutamanya yang mahal jika anda tidak mampu membayar ansuran bulanannya. Ingat, untuk menyelesaikan hutang membeli rumah, anda memerlukan tempoh yang sangat panjang dan boleh menjangkau hingga ke-30 tahun. Oleh itu, berhati-hatilah semasa membuat keputusan. Kalau anda rasa kurang mampu, sewalah dahulu. Pada masa yang sama cuba kumpul duit supaya dapat membeli rumah yang sesuai dengan pendapatan anda.


Jangan Boros Sambut Hari Istimewa
Memang, hari istimewa datang setahun sekali dan bukannya selalu. Tapi, ini tidak bermakna anda harus berbelanja sakan untuk menyambut kedatangannya. Berbelanjalah ikut keperluan dan bukan mengikut nafsu. Ingat, ikut kata binasa, ikut hati mati. Fikir-fikirkanlah.


Jangan Terpengaruh Dengan Iklan
Semasa melihat iklan terutamanya yang berkaitan jualan murah, jangan terus terpengaruh. Sebaliknya selidik dahulu tawaran yang dibuat. Kemudian, semak dengan diri sendiri. Adakah barang tersebut perlu atau hanya untuk suka-suka. Berhati-hati semasa membuat keputusan. Beringatlah sebelum kena.


Jangan Serahkan Diri Untuk Menjadi Penjamin
Jika ada sahabat atau saudara mara meminta jasa baik anda untuk menjadi penjamin ke atas pinjaman yang ingin dibuatnya, tidak salah kalau anda menolaknya bulat-bulat! Ini penting supaya anda tidak akan terperangkap dalam masalah kewangan yang tidak ada kena-mengena dengan hidup anda. Mahukah anda diisytiharkan muflis ke atas hutang yang bukan berpunca dari anda? Jadi, sebelum menurunkan tanda tangan fikirkanlah akibat buruk yang bakal melanda.


Jangan Berjudi
Kemenangan dalam perjudian sebenarnya hampir tidak wujud kerana sebelum menang, anda perlu "melabur" dengan banyak. Dan pelaburan itu menyebabkan anda berhutang. Janji manis yang mengatakan akan berhenti berjudi jika menang memang tidak boleh dipakai. Semua ini kerana kemenangan akan membuatkan seseorang itu terus berjudi malah mungkin menjadi lebih teruk. Oleh itu, jauhkan diri daripada judi sebelum terjebak.


Jangan Gunakan Kad Kredit
Wang plastik ini memang menggalakkan orang berhutang. Apa tidaknya, anda boleh dapat semua barang yang dihajati walaupun tanpa wang di tangan. Yang penting mesti ada kad kredit. Swipe saja, selesai masalah. Tapi malangnya, masalah yang anda katakan selesai itu akan timbul setiap kali tiba akhir atau awal bulan. Yalah, bila dapat gaji semuanya hutang perlu dibereskan.

Kalau pendapatan melebihi perbelanjaan, okeylah. Kirakan senang nak bayar hutang. Tapi, kalau dah terlebih belanja, terpaksalah didahulukan hutang yang penting. Untuk kad kredit, biasanya bayar had yang minimum sahaja, tidak mengikut jumlah sebenar yang digunakan sebab tidak cukup duit. Lepas itu, terpaksalah tanggung "bunga" yang makin lama makin meningkat.



Tanda-Tanda Anda Terlebih Belanja

  • Sentiasa menangguhkan pembayaran bil atau membayarnya secara bergilir-gilir.
  • Si pemberi hutang semakin kerap menelefon anda.
  • Tidak tahu jumlah sebenar hutang anda.
  • Berfikir-fikir untuk membuat pinjaman peribadi bagi menyelesaikan segala baki hutang yang tertunggak.
  • Berhutang dengan ramai orang.
  • Simpanan semakin susut dan sudah berbulan tidak menyimpan.
  • Duit habis dahulu sebelum bulan baru muncul.
  • Hanya mampu membayar hutang kad kredit pada kadar minimum.




Sumber: Pa&Ma (November 2005)
Penulis: Naroswati Naib