Saturday, September 15, 2007

Memilih Makanan Sihat Pada Bulan Ramadan

Bulan Ramadan merupakan bulan bagi umat Islam menunaikan ibadah puasa. Ramai di antara kita yang menganggap bulan inilah masa yang paling baik untuk mengurangkan berat badan. Dalam erti kata lain, bulan untuk melihat lebih ramai wanita kurus!

Sebenarnya jika mahu kurus tidak semestinya berpuasa. Memang puasa salah satu cara yang tidak secara langsung boleh membantu kita mengurangkan timbunan lemak dalam tubuh badan. Tetapi ingat, ia tetap bergantung kepada cara mana kita menjaga pemakanan kita sepanjang bulan ini.

Sepanjang siang hari kita berpuasa maka apabila tiba waktu memilih makanan untuk berbuka, kita kerapkali akan membeli atau memasak apa sahaja makanan yang terlintas di kepala tanpa memikirkan nilai pemakanan dan kesannya kepada kesihatan. Jika ini berlaku ke atas anda, sudah pasti bukan tubuh yang langsing anda miliki sebaliknya, tidak mustahil kalau berat badan anda juga kian bertambah terutamanya bagi anda yang kerap berbuka puasa di hotel.

Adalah penting untuk kita memilih makanan yang sesuai pada bulan puasa supaya di samping dapat menikmati rasa yang sedap, berkhasiat dan memperolehi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh, kita juga dapat berjimat.

Makan Secara Berperingkat
Pada bulan puasa ini sebaik-baiknya kita membahagikan waktu makan kepada beberapa waktu hidangan supaya tidak memberi beban yang teruk kepada perut di samping tubuh kita mendapat cukup kalori untuk keperluan seharian. Jika pada hari-hari biasa kita mengambil sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam, begitu juga di bulan puasa. Cuba amalkan makan secara berperingkat seperti pada waktu berbuka, mulakan dengan minuman, kuih-muih atau buah-buahan.
Ini sebagai pengenalan atau pendahuluan kepada perut kita yang kosong. Kita memberi rehat seketika dengan menunaikan solat Maghrib. Selepas ini barulah perut kita akan lebih bersedia menerima makanan dalam kuantiti yang lebih banyak.

Makanan Seimbang
Di samping kuantitinya, kualiti pemakanan juga perlu dititikberatkan. Ini untuk memastikan tubuh kita kembali menerima tenaga yang telah digunakan sepanjang hari dan semua vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh terkandung di dalamnya. Amalkan pemakanan seimbang di mana kita perlu memastikan semua sumber karbohidrat (kanji), protein, lemak, vitamin, mineral dan air diambil dalam jumlah yang sesuai dan mencukupi.

Memodifikasikan Diet
Pemilihan makanan daripada produk-produk tempatan sebenarnya mempunyai nilai pemakanan yang baik asalkan cara kita menyediakannya adalah mengikut resipi atau panduan makanan sihat. Sekarang inilah masanya kita cuba memodifikasikan diet kita supaya kita dapat makanan yang berkhasiat, murah dan dapat mengurangkan belanja.

TIP

1. Kurangkan pengambilan lemak

Cuba kurangkan pengambilan lemak terutama lemak tepu seperti sumber-sumber lemak dari binatang seperti mentega dan keju kerana lemak jenis ini mengandungi paras kolesterol yang tinggi. Semasa menggoreng dan menumis juga kita perlu meminimakan kuantiti minyak supaya makanan lebih sihat di samping berjimat cermat.


2. Tingkatkan pengambilan buah dan sayur-sayuran segar

Kebanyakan buah-buahan tempatan seperti belimbing besi, betik, ciku dan pisang mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding dengan buah-buahan import seperti epal, pir dan lai. Sebagai contoh, pisang rastali mempunyai kandungan vitamin C lebih 2 kali ganda berbanding epal hijau. Betik eksotika pula mempunyai kandungan vitamin A hampir 10 kali ganda berbanding limau mandarin. Selain sumbangan vitamin dan mineral, buah-buahan dan sayur-sayuran juga adalah penyumbang serat (fiber) yang sangat baik untuk sistem pencernaan.

3. Lebihkan pengambilan air

Waktu berbuka atau bersahur anda disarankan minum jus buah-buahan (tanpa gula) dan elakkan dari minuman yang manis seperti minuman kordial atau minuman berperisa. Minuman yang berkafein seperti kopi tulen juga tidak digalakkan.

4. Kurangkan pengambilan makanan yang masin terutamanya ketika bersahur

Di samping kita dapat mengelakkan bahaya penyakit seperti serangan darah tinggi, ia juga dapat mengelakkan kita daripada rasa dahaga yang keterlaluan pada siang harinya.

5. Kurangkan pengambilan makanan/minuman yang manis

Mengurangkan penggunaan gula adalah baik untuk kesihatan kerana ia dapat mengelakkan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis dan masalah kegemukan.


Sumber: Nur (November 2002)

No comments: