Dalam dunia sekarang, sama ada orang tu kaya ataupun tidak, hutang seolah-olah mengekori ke mana sahaja kita pergi.
Hakikatnya, wang yang banyak bukanlah kayu pengukur yang berupaya menunjukkan bahawa seseorang itu tidak berhutang. Malah, hutang orang-orang "berwang" ini lebih hebat daripada yang bertaraf sederhana.
Dipendekkan cerita, hutang tidak memilih. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsanya. Supaya tidak terus diburu si hutang, anda kenalah bijak. Bijak dalam menguruskan sistem kewangan anda.
Jangan Abaikan Hutang
Setiap kali berhutang, anda mestilah ingat. Bayar sebelum hutang tersebut bertambah. Hutang ni sebenarnya macam barah. Mula-mula memanglah sikit, tapi kalau dibiarkan sahaja tanpa rawatan, boleh membunuh.
Jangan Beli Barang Secara Sewa Beli
Bagi yang berkemampuan, jangan sesekali membeli barang menggunakan kaedah sewa beli walaupun sekadar untuk suka-suka. Akan tetapi, bagi yang kurang berkemampuan, simpan dahulu duit sebelum membeli.
Selain dapat membeli barangan yang diinginkan pada harga yang lebih murah, tanpa disedari, wang yang anda simpan di dalam bank akan bertambah kerana anda mendapat faedah di atas setiap sen yang disimpan.
Jangan Terlalu Mengikut Hati
Ukurlah baju di badan sendiri. Kalau gaji RM1,000 belanjalah banyak itu. Jangan pula, berbelanja mengalahkan eksekutif. Bukan nak cemburu, tapi kalau beringat bukankah bagus? Kelak anda yang untung juga.
Jangan Membeli Rumah Yang Mahal
Jangan sesekali membeli rumah terutamanya yang mahal jika anda tidak mampu membayar ansuran bulanannya. Ingat, untuk menyelesaikan hutang membeli rumah, anda memerlukan tempoh yang sangat panjang dan boleh menjangkau hingga ke-30 tahun. Oleh itu, berhati-hatilah semasa membuat keputusan. Kalau anda rasa kurang mampu, sewalah dahulu. Pada masa yang sama cuba kumpul duit supaya dapat membeli rumah yang sesuai dengan pendapatan anda.
Jangan Boros Sambut Hari Istimewa
Memang, hari istimewa datang setahun sekali dan bukannya selalu. Tapi, ini tidak bermakna anda harus berbelanja sakan untuk menyambut kedatangannya. Berbelanjalah ikut keperluan dan bukan mengikut nafsu. Ingat, ikut kata binasa, ikut hati mati. Fikir-fikirkanlah.
Jangan Terpengaruh Dengan Iklan
Semasa melihat iklan terutamanya yang berkaitan jualan murah, jangan terus terpengaruh. Sebaliknya selidik dahulu tawaran yang dibuat. Kemudian, semak dengan diri sendiri. Adakah barang tersebut perlu atau hanya untuk suka-suka. Berhati-hati semasa membuat keputusan. Beringatlah sebelum kena.
Jangan Serahkan Diri Untuk Menjadi Penjamin
Jika ada sahabat atau saudara mara meminta jasa baik anda untuk menjadi penjamin ke atas pinjaman yang ingin dibuatnya, tidak salah kalau anda menolaknya bulat-bulat! Ini penting supaya anda tidak akan terperangkap dalam masalah kewangan yang tidak ada kena-mengena dengan hidup anda. Mahukah anda diisytiharkan muflis ke atas hutang yang bukan berpunca dari anda? Jadi, sebelum menurunkan tanda tangan fikirkanlah akibat buruk yang bakal melanda.
Jangan Berjudi
Kemenangan dalam perjudian sebenarnya hampir tidak wujud kerana sebelum menang, anda perlu "melabur" dengan banyak. Dan pelaburan itu menyebabkan anda berhutang. Janji manis yang mengatakan akan berhenti berjudi jika menang memang tidak boleh dipakai. Semua ini kerana kemenangan akan membuatkan seseorang itu terus berjudi malah mungkin menjadi lebih teruk. Oleh itu, jauhkan diri daripada judi sebelum terjebak.
Jangan Gunakan Kad Kredit
Wang plastik ini memang menggalakkan orang berhutang. Apa tidaknya, anda boleh dapat semua barang yang dihajati walaupun tanpa wang di tangan. Yang penting mesti ada kad kredit. Swipe saja, selesai masalah. Tapi malangnya, masalah yang anda katakan selesai itu akan timbul setiap kali tiba akhir atau awal bulan. Yalah, bila dapat gaji semuanya hutang perlu dibereskan.
Kalau pendapatan melebihi perbelanjaan, okeylah. Kirakan senang nak bayar hutang. Tapi, kalau dah terlebih belanja, terpaksalah didahulukan hutang yang penting. Untuk kad kredit, biasanya bayar had yang minimum sahaja, tidak mengikut jumlah sebenar yang digunakan sebab tidak cukup duit. Lepas itu, terpaksalah tanggung "bunga" yang makin lama makin meningkat.
Tanda-Tanda Anda Terlebih Belanja
- Sentiasa menangguhkan pembayaran bil atau membayarnya secara bergilir-gilir.
- Si pemberi hutang semakin kerap menelefon anda.
- Tidak tahu jumlah sebenar hutang anda.
- Berfikir-fikir untuk membuat pinjaman peribadi bagi menyelesaikan segala baki hutang yang tertunggak.
- Berhutang dengan ramai orang.
- Simpanan semakin susut dan sudah berbulan tidak menyimpan.
- Duit habis dahulu sebelum bulan baru muncul.
- Hanya mampu membayar hutang kad kredit pada kadar minimum.
Sumber: Pa&Ma (November 2005)
Penulis: Naroswati Naib
No comments:
Post a Comment