Thursday, August 30, 2007

Peluang Perniagaan Sentiasa Terbuka

Peluang Perniagaan
Langkah pertama memulakan perniagaan ialah kemampuan anda mengenal pasti peluang perniagaan yang berdaya maju dan mampu memberi pulangan baik. Peluang perniagaan meliputi penawaran barangan atau perkhidmatan kepada pelanggan. Kewujudan peluang perniagaan dalam pasaran pula bergantung kepada perubahan-perubahan dan arah aliran persekitaran yang merangkumi sisioekonomi, budaya, politik, undang-undang dan teknologi.

Peluang perniagaan wujud apabila ada ruang untuk menawarkan barangan atau perkhidmatan yang memenuhi permintaan dan citarasa pelanggan. Sebab itu, peluang perniagaan yang berdaya maju akan wujud hasil kajian mendalam mengenai keperluan dan kehendak pelanggan.

Usaha mendapatkan peluang perniagaan, satu proses yang berterusan. Peluang yang diperoleh sebelum ini dan yang telah menghasilkan sebuah perniagaan akan sentiasa berubah dan mewujudkan peluang baru. Ini disebabkan perubahan yang berlaku bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan yang sentiasa berubah.

Mengenal pasti keperluan dan kehendak pelanggan
Peluang perniagaan wujud kerana adanya keperluan dan kehendak pelanggan kepada sesuatu barangan atau perkhidmatan.
'Keperluan' ialah sesuatu yang asas yang mesti diperoleh, dimiliki dan digunakan dalam kehidupan seseorang.
'Kehendak' pula keinginan kepada sesuatu yang lebih baik daripada keperluan asas.

Keperluan dan kehendak manusia tidak terbatas. Justeru, ia membuka peluang kepada penawaran barangan dan perkhidmatan. Sebab itu, usahawan harus peka kepada perubahan persekitaran yang membabitkan pelanggan. Antara perkara perlu dikaji ialah profil penduduk, program pembangunan kerajaan dan swasta, masalah sosial dan perundangan.

Profil penduduk
Perubahan profil penduduk boleh mewujudkan pelbagai peluang perniagaan. Ini boleh dilihat dari segi struktur penduduk, pendapatan dan citarasa. Sebagai contoh, dari segi struktur penduduk, jika bilangan kanak-kanak melebihi dewasa, ini akan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan berkaitan kanak-kanak seperti makanan bayi, penjagaan kanak-kanak, pakaian, alat mainan dan banyak lagi. Perubahan citarasa pelanggan boleh mewujudkan peluang perniagaan. Sebagai contoh, penerimaan masyarakat bagi makanan segera mewujudkan peluang perniagaan dalam penjualan makanan segera seperti ayam goreng, burger dan piza.

Rancangan pembangunan kerajaan dan swasta
Pelbagai rancangan dan projek pembangunan kerajaan dan swasta telah mewujudkan peluang perniagaan. Antaranya Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kompleks Kerajaan Putrajaya, Kompleks Sukan Bukit Jalil, pembukaan bandar baru dan tapak perindustrian baru. Di samping itu, beberapa dasar kerajaan mewujudkan pelbagai peluang, antaranya Dasar Pertanian Negara, Pelan Induk Perindustrian dan Dasar Penswastaan.

Masalah sosial
Masalah sosial juga boleh mewujudkan peluang perniagaan. Berleluasanya kejadian pecah rumah, umpamanya mewujudkan peluang penawaran sistem keselamatan dan penggera. Begitu juga masalah kesihatan mewujudkan peluang membekal peralatan senaman, makanan dan minuman kesihatan.

Undang-undang dan peraturan
Penguatkuasaan undang-undang dan peraturan oleh pihak berkuasa juga boleh mewujudkan peluang perniagaan, antaranya, peraturan pemakaian tali dan topi keledar, penggunaan tong sampah di kawasan perumahan dan peraturan keselamatan di tempat kerja.


Bagaimana memilih peluang perniagaan
Selepas mengenal pasti peluang perniagaan, anda harus memilih satu peluang yang ingin dimajukan. Pemilihan peluang perniagaan hendaklah mengambil kira keperluan modal, kesesuaiannya dari sudut undang-undang, tahap persaingan dan risiko.

Keperluan modal
Anda perlu mengkaji sumber modal bagi membiayai perniagaan yang hendak dijalankan. Modal perniagaan boleh diperoleh daripada sumber sendiri dan sumber luaran. Sumber sendiri daripada wang tabungan sedia ada atau daripada keluarga. Anda juga perlu mengkaji sumber seperti pinjaman bank atau institusi kewangan, skim pembiayaan kerajaan, kemudahan kredit daripada pembekal dan kemudahan sewa beli. Jenis perniagaan hendaklah bersesuaian dengan jenis sumber pembiayaan itu. Walaupun perniagaan dimulakan dengan sumber kewangan sendiri, kewujudan sumber luaran perlu dikaji bagi memastikan perniagaan berkemampuan mendapat modal tambahan untuk membiayai aset tetap dan modal pusingan pada masa hadapan.

Kesesuaian dari segi undang-undang
Sesuatu peluang perniagaan yang dimajukan tidak seharusnya melanggar peruntukan undang-undang negara. Sebarang perniagaan yang dikendalikan perlu mematuhi peruntukan Akta Hak Cipta 1987, Akta Paten 1983, Akta Cap Dagang 1976 dan akta lain yang berkaitan.

Tahap persaingan
Tahap persaingan perlu diambil kira dalam pemilihan peluang perniagaan. Usahawan seharusnya memasuki bidang perniagaan yang tahap persaingannya rendah.

Risiko
Anda juga perlu mengkaji tahap risiko peluang perniagaan yang bakal dimajukan. Risiko ialah kemungkinan berlakunya kegagalan sesebuah perniagaan. Perniagaan berisiko tinggi mempunyai kemungkinan gagal yang tinggi dan perniagaan berisiko rendah mempunyai kemungkinan gagal yang rendah. Setiap peluang perniagaan perlu dianalisa untuk mengetahui anggaran peratus kejayaannya. Selepas menganggar peratus kejayaan, usahawan perlu membuat keputusan sama ada meneruskannya atau tidak. Lazimnya, risiko perniagaan bergantung pada faktor berikut:

  • Penyertaan dalam bidang perniagaan ( sukar atau mudah )
  • Jumlah modal yang dilaburkan ( besar atau kecil )
  • Kadar keuntungan yang dijangka ( tinggi atau rendah )
Biasanya perniagaan berisiko tinggi ialah bidang yang sukar dimasuki, memerlukan modal besar tetapi memberi pulangan tinggi.

Selepas memilih satu peluang perniagaan, anda perlu membuat perancangan teratur bagi memastikan perniagaan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan. Langkah seterusnya ialah menyediakan satu rancangan perniagaan yang lengkap.


Sumber: Jelita (Oktober 2002)
Penulis: Profesor Madya Faridah Ahmad
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara, dengan kerjasama Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA)

Tuesday, August 28, 2007

Makanan Sihat Cegah Penyakit

Apakah makanan sihat?
Makanan sihat ialah pelbagai makanan yang segar dan suci daripada semua kumpulan makanan, tanpa lemak, kolesterol, gula dan garam berlebihan. Elok mengambil makanan mengandungi serat tinggi.


Faedah

  • Mencapai dan mengekal berat badan sesuai.
  • Mengurangkan risiko penyakit diabetes melitus, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung koronari.
  • Mengurangkan kemungkinan mendapat penyakit berjangkit.

Panduan Amalan Makan Yang Sihat
  • Makan pelbagai jenis makanan dari semua kumpulan (seperti saranan piramid makanan)
  • Banyakkan makanan yang mengandungi bijian, bijirin dan kekacang.
  • Lebihkan sayur dan buah-buahan
  • Kurangkan gula, garam dan lemak
  • Timbangkan sukatan makanan yang dimakan dengan aktiviti harian
  • Minum banyak air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

Petua Mengurangkan Pengambilan Lemak dan Kolesterol
  • Buang semua lemak yang kelihatan pada daging dan ayam termasuk kulit ayam.
  • Kurangkan makan organ dalaman seperti hati, ginjal dan perut.
  • Pilih susu dan hasil tenusu yang rendah lemak atau tanpa lemak.
  • Kurangkan makan kuih yang banyak lemak, bergula atau santan.
  • Memasak dengan memanggang, mengukus dan merebus.

Petua Mengurangkan Pengambilan Gula
  • Kurangkan minuman/makanan manis.
  • Makan makanan segar seperti buah-buahan sebagai pemanis mulut.

Petua Mengurangkan Pengambilan Garam
  • Kurangkan penggunaan garam dalam masakan.
  • Kurangkan penggunaan bahan penambah rasa seperti kicap, sos tiram dan sos tomato.
  • Kurangkan makanan yang diawet seperti ikan masin dan sayur jeruk.
  • Kurangkan makanan diproses seperti keropok, kerepek dan sardin.

Makanan Yang Boleh Meningkatkan Risiko Penyakit Jantung Koronari
  • Makan lemak berlebihan
  • Makan terlalu banyak atau melebihi keperluan
  • Kerap memakan makanan berkalori tinggi
  • Garam dan gula berlebihan


Sumber: Kumpulan Penyelidik Projek Intervensi Komuniti Penyakit Kardiovaskular

Bagaimana Badan Berubah Bila...

Usia: Lewat 20-an
Tanda-tanda dapat dilihat:

  • Kehilangan keanjalan dan ketegangan kulit pada lengan bila melambai tangan atau memakai baju lengan pendek.
  • Terasa bentuk pusat berubah daripada bentuk menegak kepada bentuk melintang.
  • Apabila usia meningkat, kulit menjadi lebih kendur, anda tidak lagi memakai jean dengan potongan pinggang rendah.
Susuk badan dan kulit:
Kekeringan permukaan sementara, selepas lewat 20-an, keanjalan dan kelembapan tidak pulih sepenuhnya.

Usia: Lewat 30-an
Tanda-tanda dapat dilihat:
  • Kehilangan keanjalan pada bahagian pinggul dan belakang paha; anda terasa kurang keupayaan untuk meliuk lentur.
  • Penampilan anda berubah walaupun berat badan anda tidak berubah.
  • Tali pinggang anda turun ke bawah.
Susuk badan dan kulit:
Kulit kehilangan kelembapan. Tompok dan kedut halus muncul, susuk badan berubah.

Usia: Lewat 40-an
Tanda-tanda dapat dilihat:
  • Bila anda mandi, air melekat pada kulit anda.
  • Bila anda mencubit badan anda, kulit tidak berbingkas semula.
  • Daging berlebihan berkumpul di keliling pinggang.
  • Anda dapati sempadan antara pinggul dan paha semakin hilang.
Susuk badan dan kulit:
Kulit berkedut dan kendur. Susuk badan tertarik ke bawah. Tekstur kulit menjadi kasar, kedut kulit mula merebak.

Usia: Lewat 50-an
Tanda-tanda dapat dilihat:
  • Kulit menjadi begitu lembut. Bila anda menariknya, ia meregang.
  • Perbezaan antara buku lali dan betis hilang. Kedua-duanya kehilangan definisi.
  • Daging berlebihan muncul di belakang, membonjol di keliling pakaian dalam.
  • Badan secara keseluruhan terasa kendur dan kulit badan kekurangan ketegangan.
Susuk badan dan kulit:
Dengan perubahan dalam kolagen kulit, keanjalan dan kebingkasan merosot. Susuk badan lebih tertarik ke bawah.

Sunday, August 26, 2007

Siapa Miliki Wajah Berseri-seri

Pada hari kiamat kelak, Allah S.W.T. akan membangkitkan suatu umat daripada kubur mereka dengan wajah yang berseri-seri.
Para malaikat bertanya kepada mereka,
"Apakah amalan kamu sewaktu di dunia?"
Mereka pun menjawab,
"Kalau mendengar seruan azan kami terus bangun, bersuci dan tidak mengendahkan pekerjaan lain"


Kemudian terdapat pula suatu umat yang dibangkitkan dengan wajah seperti bulan purnama. Apabila ditanya, mereka menjawab,
"Kami selalu berwuduk sebelum tiba waktu solat"


Ada pula suatu umat yang lain yang mana wajah mereka bercahaya seperti matahari. Para malaikat bertanya, lalu mereka menjawab:
"Setiap kali azan dikumandangkan, kami sudah terlebih dahulu berada di dalam masjid"

Panduan Hemat Berbelanja

1. Senaraikan perbelanjaan untuk jangka masa beberapa minggu atau bulan. Dengan ini anda tahu bagaimana anda berbelanja atau menyimpan wang. Melalui senarai itu, wujudkan satu kalendar aliran tunai. Pertama, buat jangkaan perbelanjaan bagi tempoh 12 bulan. Sewa rumah dan barang-barang keperluan biasanya mudah dibuat jangkaan kerana ia bersifat statik tetapi makanan dan perbelanjaan berkaitan kerja memerlukan pertimbangan.

2. Pertimbangkan untuk membuka akaun bersama atau berasingan atau kedua-duanya sekali tetapi kawal emosi sebaik mungkin. Akaun bersama boleh menjalin hubungan kesepakatan jika ia melibatkan simpanan yang dikumpulkan bersama, pelaburan dan perbelanjaan seisi rumah. Akaun berasingan lebih bersifat autonomi terutama sekali jika ia melibatkan pasangan yang tidak bergantung harap sesama sendiri untuk sekian lama.

3. Wujudkan tabung kecemasan kerana ia boleh membantu anda jika berlaku sesuatu yang tidak diduga.

4. Kawal penggunaan kad kredit, paling banyak dua keping. Jika nafsu berbelanja sukar dibendung, jangan mohon kad baru.

5. Jika salah seorang daripada anda arif menguruskan soal imbangan kewangan, kendalikan tugas itu. Selagi anda berdua saling memberi maklumat dan tahu mengenai kedudukan kewangan dan pelaburan bersama, ia tidak akan membuahkan sebarang masalah. Apatah lagi, perkahwinan adalah perkongsian hidup.

6. Bersikap realistik apabila memperuntukkan wang untuk berbelanja pada kemewahan seperti percutian. Percutian di luar negara misalnya, boleh menjadi sesuatu yang lebih menyeronokkan tanpa berbelanja lebih jika anda merancang perjalanan yang membolehkan anda meluaskan pandangan.

7. Tetapkan belanjawan untuk pengangkutan kerana ia boleh menelan 50 peratus daripada belanjawan anda. Apa-apa yang boleh dijimatkan, jimatlah.

8. Senaraikan jenis pakaian yang diperlukan kerana musuh ketat belanjawan bagi pakaian ialah belian mendadak. Belilah mengikut senarai berdasarkan kemampuan anda. Juga fikirkan pakaian-pakaian yang tersangkut dalam almari baju anda.

9. Rancang pembelian barang-barang runcit. Fikirkan makanan yang benar-benar memberi kepuasan untuk anda. Bagaimana dengan air botol? Apa bezanya antara air yang berjenama yang berharga RM2.99 dengan yang hanya RM0.99. Bagaimana pula dengan makan di luar, bolehkah digantikan dengan makanan yang dimasak sendiri yang lebih segar dan murah?

10. Prihatin kepada pembantu rumah atau penjaga budak. Jika anda berpuas hati dengan pembantu rumah atau penjaga budak, layani mereka dengan memberi sedikit ganjaran, sama ada hadiah atau wang. Perkhidmatan yang sempurna di rumah boleh membantu melicinkan perjalanan hidup anda.

11. Elak pembaziran dalam penggunaan telefon, penyaman udara dan pemanas. Gunakan jika perlu sahaja.

12. Fahami maksud sebenar tawaran murah; Belian yang menguntungkan. Berhati-hati pada hadiah percuma yang boleh mengheret anda berbelanja lebih. Ini termasuklah tawaran melancong percuma dan makan di restoran dengan kadar diskaun.

13. Telitikan segala hutang-piutang anda. Tentukan satu had yang membolehkan anda mencajkan bayaran melalui kredit anda. Perhatikan jumlah pembayaran setiap bulan supaya ia sentiasa berada di dalam kemampuan anda. Pendek kata, anda boleh mengendurkan 'lemak' dalam belanjawan anda. Ia hanya memerlukan sedikit kreativiti dan kesanggupan.

Sumber: Mingguan Wanita 2003

Saturday, August 25, 2007

Iklan Nadi Perniagaan

Pengiklanan adalah suatu bentuk pelaburan sebagai usaha meningkat dan mengembangkan perniagaan. Pulangan besar dari pelaburan ini banyak bergantung kepada perancangan teliti, kemas dan konsisten. Keberkesanannya tidak mengira sebanyak mana jumlah wang yang dilaburkan. Ia kini dilihat sebagai nadi penggerak perniagaan dan semakin hebat disaksikan tatkala tiba musim perayaan dan musim jualan mega.


4 soalan utama yang perlu dijawab:


1. Apakah matlamat pelaburan?
Mengenal pasti objektif pengiklanan merupakan langkah utama bagi memastikan pelaburan tersebut setimpal dengan kos. Anda perlu faham apa perlunya iklan dan apa yang hendak dicapai. Cara terbaik merealisasikannya ialah dengan cara memahami perniagaan anda, menarik perhatian pelanggan saingan, mempertahankan pelanggan sedia ada dan meningkatkan keyakinan mereka serta menjadi peneraju jualan.


2. Siapakah kumpulan sasaran?
Setelah anda menggariskan matlamat pengiklanan, seterusnya anda boleh memilih kumpulan sasaran atau pelanggan. Iklan yang mensasarkan semua golongan pelanggan kurang berjaya mencapai matlamatnya. Perlu ada kumpulan sasaran tertentu. Kaedah terbaik membahagikan kumpulan sasaran ialah melalui:

a) Demografi : Kajian kependudukan berdasarkan jantina, umur, pendapatan, lokasi, perniagaan dan sebagainya.


b) Sikap : Kesedaran kehadiran perniagaan; seperti produk, perkhidmatan atau penjual; setia kepada anda atau beralih ke produk pesaing.


c) Keinginan dan keperluan : Apakah faedah yang pelanggan perolehi, ini adalah persoalan asas mengapa mereka patut menggunakan produk atau perkhidmatan anda. Ia juga berkaitan dengan bagaimana keluaran syarikat mampu memenuhi keperluan mereka.


3. Maklumat dalam iklan?
Setelah mengenalpasti siapa, keinginan dan keperluan pelanggan, barulah anda boleh memaklumkan maklumat yang sesuai. Iklan sepatutnya ditulis atau digunakan sepenuhnya bagi menyampaikan maklumat. Iklan juga perlulah jelas dan meyakinkan bagi menjelaskan kebaikan menggunakan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Cara berkesan menonjolkan kebaikan produk atau perkhidmatan anda ialah memastikan iklan tersebut benar-benar menarik perhatian, minat, meningkatkan keinginan dan menggalakkan tindakan menggunakan produk anda.


4. Medium pengiklanan terbaik?
Kini ada banyak pilihan medium pengiklanan boleh didapati. Tepuk dada tanya selera yang mana satu paling berkesan atau sesuai dengan produk dan kumpulan sasaran. Melangkaui kaedah pengiklanan biasa, anda juga boleh memilih tempat paling strategik seperti di lapangan terbang, skrin besar di luar bangunan komersil atau pusat beli belah. Di mana anda meletakkan iklan perlu berdasarkan prinsipal mudah iaitu memaparkan iklan di kawasan tumpuan ramai, Perlu diingat bahawa tiada satu pun medium pengiklanan boleh dikategorikan sebagai terbaik dan terburuk. Semasa memilih medium pastikan ia dapat mencapai kumpulan sasaran semaksimum yang mungkin secara efektif dan effisien dalam peruntukan yang ditetapkan. Berikut adalah antara beberapa medium yang seringkali digunakan:


a) Televisyen
Televisyen mampu mencapai kumpulan sasaran yang dikehendaki dalam masa singkat sama ada melalui rangkaian televisyen biasa atau kabel. Jumlah kumpulan sasaran yang menonton iklan bergantung kepada berapa ramai yang menonton televisyen pada masa tertentu. Kelebihan pengiklanan melalui televisyen ialah keupayaannya menyampaikan maklumat yang dapat dilihat, dengar dan bergerak. Bagaimanapun kelemahannya ialah masa ke udara yang terhad, kos tinggi dari segi produksi dan tempahan masa serta saingan dengan pengiklan lain. Produk atau perkhidmatan perlukan pelbagai sudut pendedahan supaya menarik perhatian ramai. Banyak juga iklan yang kurang menarik sehingga mengurangkan minat penonton untuk terus menonton.


b) Radio
Sebagaimana televisyen, radio juga dapat menjangkau ramai pendengar atau pengguna. Kelebihan radio ialah bagaimana ia dapat didengari oleh kumpulan sasaran yang dikenalpasti dengan lebih efisien melalui kepelbagaian segmen yang ke udara. Kebanyakan pengiklan terdiri daripada usahawan kecil dan sederhana kerana kos pembikinan iklan kurang mahal. Bagaimanapun di sini anda terpaksa berhadapan dengan tempoh masa singkat iklan ke udara. Ini menyebabkan pengenalan produk terpaksa dibuat sebaik mungkin agar mudah difahami pendengar selain banyak lagi iklan lain yang bakal disiarkan. Mengatasi masalah ini, kekerapan pendedahan adalah diperlukan agar pengguna cepat dan mudah mengingati iklan anda.


c) Suratkhabar
Suratkhabar memastikan iklan anda dapat dibaca oleh pengguna dalam lingkungan kawasan pengedaran. Mencetak iklan di suratkhabar memberi kelebihan kepada anda menentukan saiz iklan dan mukasurat pilihan. Pendedahan kepada iklan tidak terbatas, selagi mereka memegangnya selagi itu iklan anda akan kelihatan. Bagaimanapun tempoh tarikh luput singkat suratkhabar selama sehari atau selang beberapa hari memaksa anda menempah ruang iklan baru.


d) Majalah
Majalah membolehkan anda mengiklankan produk atau perkhidmatan untuk kumpulan sasaran tertentu. Kebiasaannya ia berkaitan dengan kumpulan pembaca yang meminati pengisian majalah. Kelebihan mengiklan dalam majalah ialah tempoh yang lama iklan dapat dilihat oleh pembaca dengan frekuensi ulangan membaca yang kerap.


e) Papan tanda (Billboards)
Iklan luar kebiasaannya digunakan untuk menanam dan mengingatkan semula pengguna tentang iklan yang disiarkan melalui media lain. Kaedah ini mampu merangkumi keseluruhan pasaran dan frekuensi tatapan yang tinggi. Bagaimanapun perlu diingat, ia hanya dapat dilihat dalam tempoh terhad kerana kebanyakan pengguna sedang bergerak atau melintasi papantanda tersebut. Gunakan perkataan yang ringkas, padat dan tepat sebagai kaedah komunikasi yang dapat menangkap pemahaman pengguna yang melihatnya sepintas lalu.


f) Secara pos
Kaedah secara pos ini hanya akan sampai kepada pengguna tertentu sahaja. Iklan yang dihantar juga lebih fleksibal iaitu bergantung kepada kehendak pengiklan dan bagaimana reka letaknya. Sungguhpun begitu risiko iklan secara pos ialah anda perlu memastikan alamat penerima adalah betul, ini bermakna perlu ada pengemaskinian alamat, selain itu sukar juga untuk mendapatkan perhatian pengguna. Jika anda ingin melakukannya pastikan iklan tersebut menarik dan unik.


g) Yellow Pages
Ini merupakan satu medium yang menghimpun kelebihan kaedah pengiklanan dari medium yang lain. Iklan dalam Yellow Pages memudahkan pengguna mencari rujukan nombor untuk dihubungi selain ia memberi kelebihan kepada anda untuk memilih kawasan di mana iklan hendak disampaikan dari bandar ke luar bandar. Kos perbelanjaan untuk memasukkan iklan di dalamnya juga tidak mahal namun iklan hanya boleh diubah setelah setahun dan penampilannya yang kurang menarik serta banyak iklan lain mampu menenggelamkan iklan anda sendiri.


Terbukti kini medium pengiklanan pilihan lebih terbuka luas. Bergantung kepada perbelanjaan yang ditetapkan. Apa yang penting anda perlu mengiklankan produk atau perkhidmatan anda agar diketahui umum.




Sumber: Nur 2002

Thursday, August 23, 2007

Risiko Di Sebalik Manfaat Kosmetik Dan Pil Tambahan

Setiap orang apatah lagi wanita sudah tentunya ingin tampil cantik dan sihat. Jika disebut sahaja tentang kosmetik dan pil tambahan, ia sering kali berkait rapat dengan diri wanita. Namun sayangnya, keakraban dengan barangan kosmetik dan makanan tambahan tersebut secara tak langsung walaupun banyak manfaat tetapi dalam diam memiliki kekurangannya. Beberapa hasil kajian yang dilakukan pakar dalam dan luar negara, terbukti bahawa kepelbagaian kosmetik seperti deodoran, pewangi hinggalah syampu memberi impak negatif terhadap kesihatan.


Kekurangan ini timbul disebabkan faktor zat kimia tertentu yang digunakan sebagai campuran kosmetik ataupun makanan tambahan. Kadangkala sebagai pengguna kita tidak menyedari bahawa kandungan dalam bahan kosmetik yang digunakan boleh membahayakan kesihatan.


Antara kandungan bahan kimia yang perlu diawasi ialah:
Dalam kosmetik


Poly Ethylene Glycol (PEG)
Zat yang berfungsi sebagai campuran dalam deodoran, pewangi, lipstik, dan syampu bayi ini ternyata dapat menyebabkan kerosakan kulit (pecah-pecah).


Sodium Laureth Sulfats (SLES)
Zat buih syampu ini boleh mengakibatkan iritasi ringan namun dapat memberi kesan kekeringan pada rambut. Sementara iritasi pada kulit kepala dapat mengakibatkan keguguran.


Propylene Glicol (PG)
Zat anti beku dalam kosmetik yang juga banyak dipakai sebagai campuran pada produk rambut dan ubat gigi ini jika digunakan terus-menerus akan masuk ke dalam tubuh dan berisiko timbulnya iritasi serta terhambatnya pertumbuhan kulit. Di samping itu, zat ini juga boleh mengakibatkan sakit kepala, mual, kerosakan buah pinggang, otak dan hati.


Dalam pil tambahan


Serat
Fungsi utama serat adalah melancarkan sistem pencernaan dan pembuangan air besar. Selain itu serat juga mampu menurunkan kadar kolesterol dan risiko terkena kanser. Namun, jika diambil serta melebihi keperluan harian (disarankan 20-25 mg per hari), maka boleh menimbulkan gangguan pencernaan dan menurunkan penyerapan pelbagai mineral seperti kalsium dan zat besi.


Vitamin
Sederetan vitamin mulai dari A,B,C,D,E hingga K, merupakan zat yang diperlukan oleh tubuh membantu proses biokimia yang diperoleh dari luar. Jika vitamin-vitamin ini digunakan melebihi kuantiti sebenar, akan mengakibatkan gangguan metabolisme tubuh.


Oleh itu, adalah perlu meminimumkan risiko yang ditimbulkan, pengguna hendaklah memahami apa fungsi serta peranan kosmetik dan makanan tambahan, serta aturan penggunaannya secara baik dan benar.




Sumber: Mingguan Wanita 2003

Tuesday, August 21, 2007

Tanggungjawab Bersama Suami Isteri

Tanggungjawab bersama bermaksud kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh kedua belah pihak secara bersama dalam usaha mewujudkan sebuah ikatan suami isteri yang kukuh dan padu. Tanggungjawab tersebut adalah sebagaimana berikut:


Pergaulan yang baik
Suami isteri mestilah mempunyai hubungan dan pergaulan yang baik dan harmonis mengikut landasan yang diredhai Allah. Jangan sekali-kali mengeluarkan perkataan yang kesat serta perkataan yang boleh menyakiti hati pasangan sama ada dengan tujuan marau atau bergurau.


Amanah
Amanah memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya di dalam perhubungan suami isteri. Sifat amanah ditanamkan di dalam diri masing-masing dan jangan sesekali melakukan sebarang pengkhianatan dan ada niat jahat di dalam pergaulan harian suami isteri dari sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-besar perkara.


Saling kasih mengasihi
Perasaan kasih sayang yang suci dan ikhlas perlu ada di dalam perhubungan di antara suami isteri. Ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri dan perasaan ini ditambah lagi dengan sikap timbangrasa, dan perkara ini juga jika diamalkan sudah pastinya keharmonian dalam rumahtangga akan terpancar.


Saling percaya mempercayai
Sikap saling percaya mempercayai di antara suami isteri adalah perlu bagi mengekalkan keharmonian di dalam hidup berumahtangga. Tanpa sikap ini pasangan akan terdedah kepada prasangka buruk yang boleh menjejaskan keharmonian di dalam berumahtangga dan boleh meretakkan hubungan suami isteri. Suami isteri juga tidak perlu meragui keikhlasan dan kebenaran pasangan masing-masing sekiranya tidak ada tanda-tanda penyelewengan dilakukan oleh mana-mana pihak.


Faham memahami
Sikap saling faham memahami di antara satu sama lain adalah sikap yang perlu ada pada diri setiap pasangan suami isteri. Dengan adanya sikap ini secara tidak langsung akan menambah dan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang suami isteri. Segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik dan sempurna sekiranya sikap ini diamalkan dengan ikhlas.


Saling tolong menolong
Islam tidak memberatkan kerja-kerja harian rumahtangga seperti memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, menjaga anak dan sebagainya untuk dipikul oleh isteri semata-mata. Sebaliknya kerja-kerja tersebut sebenarnya adalah tanggungjawab bersama di antara suami isteri. Sekiranya sikap tolong menolong ini diamalkan oleh suami isteri diyakini akan terlahirlah sebuah keluarga yang harmoni dan tenteram.


Memenuhi keperluan seksual
Di antara tanggungjawab bersama yang perlu disempurnakan oleh pasangan suami isteri adalah menyempurnakan keperluan seksual masing-masing. Ramai pasangan suami isteri yang enggan berbincang mengenai hubungan seks mereka dengan pasangan. Mereka beranggapan bahawa perkara tersebut adalah terlalu rahsia dan sulit untuk dibincangkan. Pendapat serta pandangan ini ternyata salah dan ianya lari dari matlamat sebenar perkahwinan sebagaimana yang dianjurkan syarak.

Islam amat memandang serius perkara ini serta beranggapan bahawa perhubungan seksual ini adalah merupakan sebahagian kehidupan perkahwinan yang harus dibina bersama oleh suami dan isteri demi keharmonian rumahtangga. Manakala untuk membinanya suami isteri harus menyedari bahawa hubungan seksual harmoni memerlukan kepada proses pembelajaran. Tanggungjawab untuk belajar ini bukan terletak sahaja kepada suami malah suami isteri kedua-dua harus mengambil inisiatif untuk mempelajarinya.

Kejahilan terhadap hubungan suami isteri secara khususnya dan boleh menjejaskan keharmonian rumahtangga secara amnya. Justeru itu setiap pasangan suami isteri hendaklah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjadikan hubungan seksual mereka lebih seronok dinikmati di samping mencapai keredhaan Allah.

Sebaik-baik Orang Yang Menghubungkan Silaturahim

Menghubungkan silaturahim adalah salah satu ajaran Islam ke arah membina keutuhan dan kekuatan sesebuah masyarakat. Kita disuruh sentiasa menghubungkan silaturahim sesama kita pada setiap masa, walaupun kepada orang-orang yang berlainan agama dengan kita. Jika berlaku perbalahan, segerakanlah ditautkan kembali tali silaturahim agar perpaduan terus terjalin.

Salah satu situasi yang sering terjadi semasa kita menghubungkan silaturahim, terutamanya menerusi amalan ziarah-menziarahi ialah hanya kita sahaja yang menziarahinya, sedangkan dia tidak pernah datang menziarahi kita semula. Bila keadaan seperti ini terjadi, kadang kala timbul dalam hati kita rasa bosan untuk meneruskan amalan ziarah ini. Dalam keadaan yang lain, rungutan mula timbul, seolah-olah amalan ziarah-menziarahi selama ini tidak terbalas. Lama-kelamaan hubungan silaturahim itu mula renggang dan pertautan hati mula terpisah.

Fenomena seumpama ini kerap berlaku dalam kita menjalinkan silaturahim sesama kaum kerabat dan saudara mara terdekat. Kita akan mudah terasa 'kecil hati' apabila melibatkan mereka ini, berbanding jika melibatkan orang-orang lain yang tiada kaitan kekeluargaan. Akibatnya silaturahim sesama ahli keluarga semakin lama semakin renggang.

Untuk menghilangkan rasa bosan akibat orang yang sering kita ziarahi itu tidak pula datang menziarahi kita semula, Rasulullah S.A.W. mengajar kita agar sentiasa ikhlas dalam amalan kita. Tanamkan rasa ikhlas kerana Allah Taala semasa kita melakukan amalan ziarah-menziarahi sesama kita. Jangan mengharapkan amalan kita itu dibalas oleh orang yang kita ziarahi itu.

Rasulullah S.A.W. pernah mengingatkan:
"Orang yang menghubungkan silaturahim bukanlah orang yang mengharapkan balasan, tetapi orang yang menghubungkan silaturahim ialah orang yang apabila diputuskan silaturahimnya, dia akan menghubungkannya"
(Riwayat Bukhari)


Sumber: Mingguan Wanita
Penulis: Dr. Muhamad Jantan

Tip Tingkatkan Keberkesanan Pemasaran

Terdapat beberapa tip tambahan untuk meningkatkan keberkesanan pemasaran.

Tip 1
Perkayakan pengetahuan tentang produk. Sentiasalah membaca semua maklumat berkenaan produk serta mengikuti sebanyak mungkin seminar atau sesi penerangan yang berkaitan. Kita perlu mencari sebanyak mungkin bahan untuk mempertingkatkan bahan-bahan sokongan untuk produk kita.Kita boleh mendapat banyak pengetahuan dengan beberapa cara berikut:

  • Mengikuti seminar-seminar dan sesi-sesi penerangan produk-produk pesaing kita. Dengan cara ini kita akan dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan produk pesaing kita juga memperoleh bahan-bahan baru yang boleh kita gunakan untuk meningkatkan kualiti brosur atau maklumat tentang produk kita.
  • Kita boleh mendapat banyak pengetahuan tentang produk daripada internet. Layari internet dan carilah jenama-jenama produk yang seakan sama dengan produk keluaran syarikat kita. Kumpulkan sebanyak mungkin data dan daripada situ kita dapat membuat rumusan tentang apa yang penting untuk meningkatkan bahan-bahan cetak atau bahan-bahan media produk kita. Kita juga boleh menggunakan idea-idea daripada internet untuk mempertingkatkan formula produk kita supaya ia lebih baik atau mujarab.
  • Kita boleh mendapat banyak maklumat daripada pameran-pameran antarabangsa yang diadakan di Malaysia dan luar negara. Contoh jika kita dalam bidang produk kecantikan kita perlu menghadiri pameran-pameran produk kecantikan dan mengumpulkan sebanyak mungkin brosur semasa pameran. Bahan-bahan ini dapat memberi kita idea tentang pesaing kita dalam pasaran dan juga bagaimana kita boleh membuat brosur dan kempen pemasaran bertaraf dunia.

Tip 2
Sediakan bahan persembahan produk. Anda perlu menyediakan segala kemudahan untuk tujuan persembahan, termasuklah testimoni dan potongan akhbar jika ada. Anda perlu menyediakan bahan persembahan produk anda dalam bentuk brosur, CD dan juga iklan-iklan. Untuk itu anda perlu:
  • Memastikan bahawa bahan persembahan dibuat secara profesional dari segi 2 aspek. Aspek pengetahuan produk dan aspek grafik dan multimedia. Kita dapati banyak syarikat bumiputera mempunyai produk yang baik tetapi bahan persembahan produk mereka seperti brosur, pengiklanan dan lain-lain bahan amat rendah dari segi kualiti. Ini akan menyebabkan bakal pelanggan mempunyai persepsi bahawa produk tersebut tidak berkualiti dan ini akan menyebabkan jualan produk kita rendah. Jadi amat penting untuk kita mempunyai bahan yang baik dan persembahan yang berkualiti tinggi supaya ia memberi imej positif tentang produk dan syarikat.
  • Bagi produk-produk yang sudah lama dalam pasaran, kita perlu memasukkan konsep testimoni kepada produk kita. Kita perlu mendapat testimoni daripada pelanggan-pelanggan yang puas hati dengan produk kita dan dengan ini dapat meyakinkan bakal pengguna baru tentang produk.

Tip 3
Mengenalpasti saluran-saluran pemasaran yang sesuai untuk produk kita. Ini amat penting kerana kita dapati banyak pengusaha perniagaan kecil tidak menggunakan saluran pemasaran yang sesuai dengan produk mereka. Berikut beberapa idea saluran untuk memasarkan produk:
  • Saluran jualan secara runcit. Cara ini kita boleh jual di kedai-kedai runcit, pasar malam, pasar minggu, pasar tani, uptown dan lain-lain tempat. Kita juga boleh membuat jualan runcit secara ekspo bergerak. Produk-produk yang laris adalah seperti produk makanan, pakaian, kasut, jamu dan ubat-ubatan tradisional dan lain-lain produk yang laris untuk dijual secara runcit.
  • Saluran jualan secara kedai di pusat membeli-belah atau pasar raya besar. Cara jualan sama seperti jualan runcit. Yang membezakan ialah produk yang dijual perlu berkualiti tinggi dan menepati kehendak pelanggan yang datang dari kelompok kelas menengah dan atasan. Sewa di tempat-tempat ini juga mahal dan tidak mungkin kita boleh menjual produk-produk yang berkualiti rendah. Contoh produk yang boleh kita pasarkan ialah seperti barangan penjagaan kulit jenama antarabangsa, branded goods, bahan-bahan interior design dan lain-lain.
  • Saluran jualan menerusi internet dan mail order. Saluran jualan secara ini sedang pesat berkembang dan ada ribuan produk yang dijual secara internet dan mail order di seluruh dunia. Anda boleh layari banyak website seperti amazon.com, ebay.com, flower.com dan sebagainya untuk mendapat idea bagaimana anda boleh memasarkan barangan anda secara internet dan mail order.


Sumber: Mingguan Wanita 2007
Penulis: Dr. Aziz Azimuth

Khasiat Makanan Dalam Islam

Bawang Putih
Bawang putih juga elok untuk memanaskan badan. Khasiatnya membuang angin dan menggalakkan pengeluaran air mani. Minyaknya digunakan untuk merawat gigitan serangga.

Jintan Manis
Jintan manis banyak khasiatnya. Ia melegakan kesakitan dalam badan, melancarkan aliran keluar haid, membanyakkan susu dan membuang gas dalam usus. Boleh digunakan dalam bentuk serbuk dan disapu di sekeliling mata bagi menguatkan pandangan mata.

Epal
Epal masam lebih sejuk daripada yang manis. Ia juga boleh menguatkan organ hati.

Asparagus
Asparagus berkhasiat bagi membuka sekatan pada buah pinggang dan memudahkan kelahiran anak.

Pisang
Pisang menyejukkan badan dan boleh dimakan dengan madu lebah.

Barli
Barli berkhasiat sebagai penyejuk badan. Rasulullah S.A.W. pernah memberi sup barli kepada orang yang menghidap demam.

Selasih
Selasih berkhasiat menguatkan organ hati, memudahkan tidur dengan cara menyapu kepala dengan basil yang dicampurkan air.

Mentega
Mentega khasiatnya memanas dan melembapkan. Baik untuk menghilangkan sembelit. Mentega dicampurkan dengan kurma dan madu dapat menghilangkan rasa mengidam pada perempuan hamil.

Lobak Merah
Memanaskan badan dan melancarkan aliran haid dan air kencing.

Biji Kopi
Ubat penyakit buang air besar berdarah, menghilangkan dahaga dan dikatakan menimbulkan kebijaksanaan.

Ayam
Memudahkan penghadaman, membetulkan imbangan badan, baik untuk otak dan dan badan, serta mencantikkan rupa paras. Bagaimanapun, jika dimakan terlalu banyak boleh menyebabkan penyakit sendi dan yang terbaik ialah daging ayam betina tidak bertelur.

Kulit Kayu Manis
Kulit kayu manis juga pemanas badan. Minyaknya sebagai penawar untuk menghapuskan rasa tidak hadam. Ia adalah campuran (rempah ratus) yang digunakan dalam resepi masakan hampir tiga suku penduduk dunia.

Telur
Khasiat telur yang paling baik boleh kita dapati daripada telur ayam (setengah masak atau masak) bukan direbus keras. Putih telur melegakan apabila kita melecur atau kulit terbakar dan menghilangkan parut pada kulit.

Ikan
Khasiat ikan air tawar lebih baik terutama yang makan tumbuhan, bukan makan lumpur dan benda seni dalam air. Ikan tidak dimasak sukar hadam.

Halia
Halia berkhasiat membantu penghadaman dan memanaskan badan.

Madu Lebah
Madu lebah mempunyai pelbagai khasiat. Madu atau manisan lebah ini apabila dicampur dengan air panas boleh mengubati penyakit cirit-birit. Madu dianggap ibu segala makanan, minuman dan ubatan. Madu paling berkualiti ialah yang dikeluarkan dalam musim bunga, seterusnya musim panas dan yang kurang berkualiti dalam musim sejuk.


Sumber: Berita Harian

Sunday, August 5, 2007

Gigi Serikan Senyuman

Bagi wanita yang peka dengan penampilan dan kebersihan diri, kuntuman senyuman itu perlu diserikan dengan barisan gigi yang putih dan tersusun.
Justeru kesihatan mulut hendaklah diutamakan bagi memastikan bakteria tidak bermaharajalela sehingga menyebabkan gigi rosak dan nafas berbau.
Berikut adalah tip yang boleh diamalkan untuk mengekal kesihatan mulut:

Kawal Pemakanan

  • Elakkan mengambil makanan dan minuman manis contohnya coklat.
  • Makanan dan minuman manis penyumbang utama kerosakan gigi.
  • Jika menikmati hidangan manis segera bersihkan mulut dengan berkumur.

Berhenti Merokok

  • Rokok akan menyebabkan gusi menjadi tidak sihat dan melambatkan proses pemulihan luka jika gusi berdarah.
  • Kandungan tar dalam asap rokok akan menjadikan gigi berwarna kuning dan berkarat.
  • Bibir perokok juga lebam dan kusam.

Kawal Penggunaan Gigi

  • Gunakan gigi sebagai alt mencerna makanan sahaja.
  • Elak menggunakan gigi sebagai alat untuk membuka plastik makanan atau botol minuman.
  • Perbuatan ini menambah risiko gigi mudah goyang dan rapuh.

Berus Gigi Sebelum Tidur

  • Ketika tidur bakteria di dalam mulut mula membiak.
  • Apabila individu tidur tanpa menggosok gigi, bakteria akan membiak lebih pantas dua kali ganda sekaligus mempercepatkan proses kerosakan gigi.

Gunakan Air Berflorida

  • Gunakan air berflorida, yang sangat baik untuk mencegah masalah karies gigi.
  • Air berflorida dapat menyingkir karies gigi yang melekat pada bahagian yang tidak dapat digosok dengan berus gigi.

Sumber: Berita Harian