Sunday, August 26, 2007

Panduan Hemat Berbelanja

1. Senaraikan perbelanjaan untuk jangka masa beberapa minggu atau bulan. Dengan ini anda tahu bagaimana anda berbelanja atau menyimpan wang. Melalui senarai itu, wujudkan satu kalendar aliran tunai. Pertama, buat jangkaan perbelanjaan bagi tempoh 12 bulan. Sewa rumah dan barang-barang keperluan biasanya mudah dibuat jangkaan kerana ia bersifat statik tetapi makanan dan perbelanjaan berkaitan kerja memerlukan pertimbangan.

2. Pertimbangkan untuk membuka akaun bersama atau berasingan atau kedua-duanya sekali tetapi kawal emosi sebaik mungkin. Akaun bersama boleh menjalin hubungan kesepakatan jika ia melibatkan simpanan yang dikumpulkan bersama, pelaburan dan perbelanjaan seisi rumah. Akaun berasingan lebih bersifat autonomi terutama sekali jika ia melibatkan pasangan yang tidak bergantung harap sesama sendiri untuk sekian lama.

3. Wujudkan tabung kecemasan kerana ia boleh membantu anda jika berlaku sesuatu yang tidak diduga.

4. Kawal penggunaan kad kredit, paling banyak dua keping. Jika nafsu berbelanja sukar dibendung, jangan mohon kad baru.

5. Jika salah seorang daripada anda arif menguruskan soal imbangan kewangan, kendalikan tugas itu. Selagi anda berdua saling memberi maklumat dan tahu mengenai kedudukan kewangan dan pelaburan bersama, ia tidak akan membuahkan sebarang masalah. Apatah lagi, perkahwinan adalah perkongsian hidup.

6. Bersikap realistik apabila memperuntukkan wang untuk berbelanja pada kemewahan seperti percutian. Percutian di luar negara misalnya, boleh menjadi sesuatu yang lebih menyeronokkan tanpa berbelanja lebih jika anda merancang perjalanan yang membolehkan anda meluaskan pandangan.

7. Tetapkan belanjawan untuk pengangkutan kerana ia boleh menelan 50 peratus daripada belanjawan anda. Apa-apa yang boleh dijimatkan, jimatlah.

8. Senaraikan jenis pakaian yang diperlukan kerana musuh ketat belanjawan bagi pakaian ialah belian mendadak. Belilah mengikut senarai berdasarkan kemampuan anda. Juga fikirkan pakaian-pakaian yang tersangkut dalam almari baju anda.

9. Rancang pembelian barang-barang runcit. Fikirkan makanan yang benar-benar memberi kepuasan untuk anda. Bagaimana dengan air botol? Apa bezanya antara air yang berjenama yang berharga RM2.99 dengan yang hanya RM0.99. Bagaimana pula dengan makan di luar, bolehkah digantikan dengan makanan yang dimasak sendiri yang lebih segar dan murah?

10. Prihatin kepada pembantu rumah atau penjaga budak. Jika anda berpuas hati dengan pembantu rumah atau penjaga budak, layani mereka dengan memberi sedikit ganjaran, sama ada hadiah atau wang. Perkhidmatan yang sempurna di rumah boleh membantu melicinkan perjalanan hidup anda.

11. Elak pembaziran dalam penggunaan telefon, penyaman udara dan pemanas. Gunakan jika perlu sahaja.

12. Fahami maksud sebenar tawaran murah; Belian yang menguntungkan. Berhati-hati pada hadiah percuma yang boleh mengheret anda berbelanja lebih. Ini termasuklah tawaran melancong percuma dan makan di restoran dengan kadar diskaun.

13. Telitikan segala hutang-piutang anda. Tentukan satu had yang membolehkan anda mencajkan bayaran melalui kredit anda. Perhatikan jumlah pembayaran setiap bulan supaya ia sentiasa berada di dalam kemampuan anda. Pendek kata, anda boleh mengendurkan 'lemak' dalam belanjawan anda. Ia hanya memerlukan sedikit kreativiti dan kesanggupan.

Sumber: Mingguan Wanita 2003

No comments: