Pengiklanan adalah suatu bentuk pelaburan sebagai usaha meningkat dan mengembangkan perniagaan. Pulangan besar dari pelaburan ini banyak bergantung kepada perancangan teliti, kemas dan konsisten. Keberkesanannya tidak mengira sebanyak mana jumlah wang yang dilaburkan. Ia kini dilihat sebagai nadi penggerak perniagaan dan semakin hebat disaksikan tatkala tiba musim perayaan dan musim jualan mega.
4 soalan utama yang perlu dijawab:
1. Apakah matlamat pelaburan?
Mengenal pasti objektif pengiklanan merupakan langkah utama bagi memastikan pelaburan tersebut setimpal dengan kos. Anda perlu faham apa perlunya iklan dan apa yang hendak dicapai. Cara terbaik merealisasikannya ialah dengan cara memahami perniagaan anda, menarik perhatian pelanggan saingan, mempertahankan pelanggan sedia ada dan meningkatkan keyakinan mereka serta menjadi peneraju jualan.
2. Siapakah kumpulan sasaran?
Setelah anda menggariskan matlamat pengiklanan, seterusnya anda boleh memilih kumpulan sasaran atau pelanggan. Iklan yang mensasarkan semua golongan pelanggan kurang berjaya mencapai matlamatnya. Perlu ada kumpulan sasaran tertentu. Kaedah terbaik membahagikan kumpulan sasaran ialah melalui:
a) Demografi : Kajian kependudukan berdasarkan jantina, umur, pendapatan, lokasi, perniagaan dan sebagainya.
b) Sikap : Kesedaran kehadiran perniagaan; seperti produk, perkhidmatan atau penjual; setia kepada anda atau beralih ke produk pesaing.
c) Keinginan dan keperluan : Apakah faedah yang pelanggan perolehi, ini adalah persoalan asas mengapa mereka patut menggunakan produk atau perkhidmatan anda. Ia juga berkaitan dengan bagaimana keluaran syarikat mampu memenuhi keperluan mereka.
3. Maklumat dalam iklan?
Setelah mengenalpasti siapa, keinginan dan keperluan pelanggan, barulah anda boleh memaklumkan maklumat yang sesuai. Iklan sepatutnya ditulis atau digunakan sepenuhnya bagi menyampaikan maklumat. Iklan juga perlulah jelas dan meyakinkan bagi menjelaskan kebaikan menggunakan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Cara berkesan menonjolkan kebaikan produk atau perkhidmatan anda ialah memastikan iklan tersebut benar-benar menarik perhatian, minat, meningkatkan keinginan dan menggalakkan tindakan menggunakan produk anda.
4. Medium pengiklanan terbaik?
Kini ada banyak pilihan medium pengiklanan boleh didapati. Tepuk dada tanya selera yang mana satu paling berkesan atau sesuai dengan produk dan kumpulan sasaran. Melangkaui kaedah pengiklanan biasa, anda juga boleh memilih tempat paling strategik seperti di lapangan terbang, skrin besar di luar bangunan komersil atau pusat beli belah. Di mana anda meletakkan iklan perlu berdasarkan prinsipal mudah iaitu memaparkan iklan di kawasan tumpuan ramai, Perlu diingat bahawa tiada satu pun medium pengiklanan boleh dikategorikan sebagai terbaik dan terburuk. Semasa memilih medium pastikan ia dapat mencapai kumpulan sasaran semaksimum yang mungkin secara efektif dan effisien dalam peruntukan yang ditetapkan. Berikut adalah antara beberapa medium yang seringkali digunakan:
a) Televisyen
Televisyen mampu mencapai kumpulan sasaran yang dikehendaki dalam masa singkat sama ada melalui rangkaian televisyen biasa atau kabel. Jumlah kumpulan sasaran yang menonton iklan bergantung kepada berapa ramai yang menonton televisyen pada masa tertentu. Kelebihan pengiklanan melalui televisyen ialah keupayaannya menyampaikan maklumat yang dapat dilihat, dengar dan bergerak. Bagaimanapun kelemahannya ialah masa ke udara yang terhad, kos tinggi dari segi produksi dan tempahan masa serta saingan dengan pengiklan lain. Produk atau perkhidmatan perlukan pelbagai sudut pendedahan supaya menarik perhatian ramai. Banyak juga iklan yang kurang menarik sehingga mengurangkan minat penonton untuk terus menonton.
b) Radio
Sebagaimana televisyen, radio juga dapat menjangkau ramai pendengar atau pengguna. Kelebihan radio ialah bagaimana ia dapat didengari oleh kumpulan sasaran yang dikenalpasti dengan lebih efisien melalui kepelbagaian segmen yang ke udara. Kebanyakan pengiklan terdiri daripada usahawan kecil dan sederhana kerana kos pembikinan iklan kurang mahal. Bagaimanapun di sini anda terpaksa berhadapan dengan tempoh masa singkat iklan ke udara. Ini menyebabkan pengenalan produk terpaksa dibuat sebaik mungkin agar mudah difahami pendengar selain banyak lagi iklan lain yang bakal disiarkan. Mengatasi masalah ini, kekerapan pendedahan adalah diperlukan agar pengguna cepat dan mudah mengingati iklan anda.
c) Suratkhabar
Suratkhabar memastikan iklan anda dapat dibaca oleh pengguna dalam lingkungan kawasan pengedaran. Mencetak iklan di suratkhabar memberi kelebihan kepada anda menentukan saiz iklan dan mukasurat pilihan. Pendedahan kepada iklan tidak terbatas, selagi mereka memegangnya selagi itu iklan anda akan kelihatan. Bagaimanapun tempoh tarikh luput singkat suratkhabar selama sehari atau selang beberapa hari memaksa anda menempah ruang iklan baru.
d) Majalah
Majalah membolehkan anda mengiklankan produk atau perkhidmatan untuk kumpulan sasaran tertentu. Kebiasaannya ia berkaitan dengan kumpulan pembaca yang meminati pengisian majalah. Kelebihan mengiklan dalam majalah ialah tempoh yang lama iklan dapat dilihat oleh pembaca dengan frekuensi ulangan membaca yang kerap.
e) Papan tanda (Billboards)
Iklan luar kebiasaannya digunakan untuk menanam dan mengingatkan semula pengguna tentang iklan yang disiarkan melalui media lain. Kaedah ini mampu merangkumi keseluruhan pasaran dan frekuensi tatapan yang tinggi. Bagaimanapun perlu diingat, ia hanya dapat dilihat dalam tempoh terhad kerana kebanyakan pengguna sedang bergerak atau melintasi papantanda tersebut. Gunakan perkataan yang ringkas, padat dan tepat sebagai kaedah komunikasi yang dapat menangkap pemahaman pengguna yang melihatnya sepintas lalu.
f) Secara pos
Kaedah secara pos ini hanya akan sampai kepada pengguna tertentu sahaja. Iklan yang dihantar juga lebih fleksibal iaitu bergantung kepada kehendak pengiklan dan bagaimana reka letaknya. Sungguhpun begitu risiko iklan secara pos ialah anda perlu memastikan alamat penerima adalah betul, ini bermakna perlu ada pengemaskinian alamat, selain itu sukar juga untuk mendapatkan perhatian pengguna. Jika anda ingin melakukannya pastikan iklan tersebut menarik dan unik.
g) Yellow Pages
Ini merupakan satu medium yang menghimpun kelebihan kaedah pengiklanan dari medium yang lain. Iklan dalam Yellow Pages memudahkan pengguna mencari rujukan nombor untuk dihubungi selain ia memberi kelebihan kepada anda untuk memilih kawasan di mana iklan hendak disampaikan dari bandar ke luar bandar. Kos perbelanjaan untuk memasukkan iklan di dalamnya juga tidak mahal namun iklan hanya boleh diubah setelah setahun dan penampilannya yang kurang menarik serta banyak iklan lain mampu menenggelamkan iklan anda sendiri.
Terbukti kini medium pengiklanan pilihan lebih terbuka luas. Bergantung kepada perbelanjaan yang ditetapkan. Apa yang penting anda perlu mengiklankan produk atau perkhidmatan anda agar diketahui umum.
Sumber: Nur 2002
Saturday, August 25, 2007
Iklan Nadi Perniagaan
Posted by Salmi Rafiza Mat Saad at 11:52 PM
Labels: Perniagaan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Our Management Team are professionals and ingenious executives with extensive experience in seminar and conference management, marketing and excellent public relations skills.We are committed to provide the highest quality service possible.
Want more information,please visit www.isahienterprise.blogspot.com
Post a Comment