Menghubungkan silaturahim adalah salah satu ajaran Islam ke arah membina keutuhan dan kekuatan sesebuah masyarakat. Kita disuruh sentiasa menghubungkan silaturahim sesama kita pada setiap masa, walaupun kepada orang-orang yang berlainan agama dengan kita. Jika berlaku perbalahan, segerakanlah ditautkan kembali tali silaturahim agar perpaduan terus terjalin.
Salah satu situasi yang sering terjadi semasa kita menghubungkan silaturahim, terutamanya menerusi amalan ziarah-menziarahi ialah hanya kita sahaja yang menziarahinya, sedangkan dia tidak pernah datang menziarahi kita semula. Bila keadaan seperti ini terjadi, kadang kala timbul dalam hati kita rasa bosan untuk meneruskan amalan ziarah ini. Dalam keadaan yang lain, rungutan mula timbul, seolah-olah amalan ziarah-menziarahi selama ini tidak terbalas. Lama-kelamaan hubungan silaturahim itu mula renggang dan pertautan hati mula terpisah.
Fenomena seumpama ini kerap berlaku dalam kita menjalinkan silaturahim sesama kaum kerabat dan saudara mara terdekat. Kita akan mudah terasa 'kecil hati' apabila melibatkan mereka ini, berbanding jika melibatkan orang-orang lain yang tiada kaitan kekeluargaan. Akibatnya silaturahim sesama ahli keluarga semakin lama semakin renggang.
Untuk menghilangkan rasa bosan akibat orang yang sering kita ziarahi itu tidak pula datang menziarahi kita semula, Rasulullah S.A.W. mengajar kita agar sentiasa ikhlas dalam amalan kita. Tanamkan rasa ikhlas kerana Allah Taala semasa kita melakukan amalan ziarah-menziarahi sesama kita. Jangan mengharapkan amalan kita itu dibalas oleh orang yang kita ziarahi itu.
Rasulullah S.A.W. pernah mengingatkan:
"Orang yang menghubungkan silaturahim bukanlah orang yang mengharapkan balasan, tetapi orang yang menghubungkan silaturahim ialah orang yang apabila diputuskan silaturahimnya, dia akan menghubungkannya"
(Riwayat Bukhari)
Sumber: Mingguan Wanita
Penulis: Dr. Muhamad Jantan
Tuesday, August 21, 2007
Sebaik-baik Orang Yang Menghubungkan Silaturahim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment