Tuesday, August 21, 2007

Tip Tingkatkan Keberkesanan Pemasaran

Terdapat beberapa tip tambahan untuk meningkatkan keberkesanan pemasaran.

Tip 1
Perkayakan pengetahuan tentang produk. Sentiasalah membaca semua maklumat berkenaan produk serta mengikuti sebanyak mungkin seminar atau sesi penerangan yang berkaitan. Kita perlu mencari sebanyak mungkin bahan untuk mempertingkatkan bahan-bahan sokongan untuk produk kita.Kita boleh mendapat banyak pengetahuan dengan beberapa cara berikut:

  • Mengikuti seminar-seminar dan sesi-sesi penerangan produk-produk pesaing kita. Dengan cara ini kita akan dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan produk pesaing kita juga memperoleh bahan-bahan baru yang boleh kita gunakan untuk meningkatkan kualiti brosur atau maklumat tentang produk kita.
  • Kita boleh mendapat banyak pengetahuan tentang produk daripada internet. Layari internet dan carilah jenama-jenama produk yang seakan sama dengan produk keluaran syarikat kita. Kumpulkan sebanyak mungkin data dan daripada situ kita dapat membuat rumusan tentang apa yang penting untuk meningkatkan bahan-bahan cetak atau bahan-bahan media produk kita. Kita juga boleh menggunakan idea-idea daripada internet untuk mempertingkatkan formula produk kita supaya ia lebih baik atau mujarab.
  • Kita boleh mendapat banyak maklumat daripada pameran-pameran antarabangsa yang diadakan di Malaysia dan luar negara. Contoh jika kita dalam bidang produk kecantikan kita perlu menghadiri pameran-pameran produk kecantikan dan mengumpulkan sebanyak mungkin brosur semasa pameran. Bahan-bahan ini dapat memberi kita idea tentang pesaing kita dalam pasaran dan juga bagaimana kita boleh membuat brosur dan kempen pemasaran bertaraf dunia.

Tip 2
Sediakan bahan persembahan produk. Anda perlu menyediakan segala kemudahan untuk tujuan persembahan, termasuklah testimoni dan potongan akhbar jika ada. Anda perlu menyediakan bahan persembahan produk anda dalam bentuk brosur, CD dan juga iklan-iklan. Untuk itu anda perlu:
  • Memastikan bahawa bahan persembahan dibuat secara profesional dari segi 2 aspek. Aspek pengetahuan produk dan aspek grafik dan multimedia. Kita dapati banyak syarikat bumiputera mempunyai produk yang baik tetapi bahan persembahan produk mereka seperti brosur, pengiklanan dan lain-lain bahan amat rendah dari segi kualiti. Ini akan menyebabkan bakal pelanggan mempunyai persepsi bahawa produk tersebut tidak berkualiti dan ini akan menyebabkan jualan produk kita rendah. Jadi amat penting untuk kita mempunyai bahan yang baik dan persembahan yang berkualiti tinggi supaya ia memberi imej positif tentang produk dan syarikat.
  • Bagi produk-produk yang sudah lama dalam pasaran, kita perlu memasukkan konsep testimoni kepada produk kita. Kita perlu mendapat testimoni daripada pelanggan-pelanggan yang puas hati dengan produk kita dan dengan ini dapat meyakinkan bakal pengguna baru tentang produk.

Tip 3
Mengenalpasti saluran-saluran pemasaran yang sesuai untuk produk kita. Ini amat penting kerana kita dapati banyak pengusaha perniagaan kecil tidak menggunakan saluran pemasaran yang sesuai dengan produk mereka. Berikut beberapa idea saluran untuk memasarkan produk:
  • Saluran jualan secara runcit. Cara ini kita boleh jual di kedai-kedai runcit, pasar malam, pasar minggu, pasar tani, uptown dan lain-lain tempat. Kita juga boleh membuat jualan runcit secara ekspo bergerak. Produk-produk yang laris adalah seperti produk makanan, pakaian, kasut, jamu dan ubat-ubatan tradisional dan lain-lain produk yang laris untuk dijual secara runcit.
  • Saluran jualan secara kedai di pusat membeli-belah atau pasar raya besar. Cara jualan sama seperti jualan runcit. Yang membezakan ialah produk yang dijual perlu berkualiti tinggi dan menepati kehendak pelanggan yang datang dari kelompok kelas menengah dan atasan. Sewa di tempat-tempat ini juga mahal dan tidak mungkin kita boleh menjual produk-produk yang berkualiti rendah. Contoh produk yang boleh kita pasarkan ialah seperti barangan penjagaan kulit jenama antarabangsa, branded goods, bahan-bahan interior design dan lain-lain.
  • Saluran jualan menerusi internet dan mail order. Saluran jualan secara ini sedang pesat berkembang dan ada ribuan produk yang dijual secara internet dan mail order di seluruh dunia. Anda boleh layari banyak website seperti amazon.com, ebay.com, flower.com dan sebagainya untuk mendapat idea bagaimana anda boleh memasarkan barangan anda secara internet dan mail order.


Sumber: Mingguan Wanita 2007
Penulis: Dr. Aziz Azimuth

No comments: